Papan iklan Maszlee diturunkan, digantikan

Papan iklan kempen pendidikan yang memaparkan Maszlee Malik di ibu negara, yang sudah diturunkan.

PETALING JAYA: Sebuah papan iklan di Lebuh Raya Persekutuan memaparkan gambar bekas menteri pendidikan Maszlee Malik sudah diturunkan dan digantikan.

Jurucakap agensi pengiklanan papan iklan itu memberitahu FMT bahawa kontrak itu hanyalah sehingga 31 Dis tahun lepas.

Papan iklan itu, dikatakan berkos RM150,000, boleh dilihat apabila menuju ke Kuala Lumpur.

Sumber memberitahu menara papan iklan setiang itu menelan kos RM150,000 bagi tempoh 3 bulan atau RM500,000 untuk setahun. Ini kerana kedudukan papan iklan sepanjang Lebuh Raya Persekutuan dianggap kawasan emas.

Papan iklan Maszlee mengundang kritikan daripada ahli majlis tertinggi PPBM, A Kadir Jasin, penasihat media kepada perdana menteri.

Kadir berkata kerajaan mengenai rakyatnya dan bukannya menteri yang berusaha membina personaliti.

“Lebih baik mempromosikan agenda kerajaan daripada wajah menteri,” katanya di Facebook pada Disember.

Maszlee mengumumkan peletakan jawatan pada 2 Jan, kira-kira 20 bulan selepas dilantik sebagai menteri pendidikan. Katanya keputusan itu berdasarkan nasihat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beberapa kontroversi berkaitan pendidikan meletus semasa beliau berkhidmat, dengan pengkritik menyeru beliau dikeluarkan daripada Kabinet.