Pasaran hartanah sedang pulih tetapi lebih 50,000 rumah belum terjual

Seorang penyelidik hartanah berkata hartanah masih belum mampu dimiliki kerana gaji tidak setara harga.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 50,008 rumah, termasuk unit rumah pangsa berservis dan SoHo (pejabat kecil kediaman kecil) bernilai kira-kira RM34 bilion, masih belum terjual, kata perunding hartanah Rahim & Co.

Bercakap kepada FMT hari ini, Pengarah Penyelidikan Sulaiman Akhmady Mohd Saheh berkata, pasaran hartanah pada 2019 terus memulih dengan peningkatan 6.4% bilangan rumah terjual daripada tahun lepas.

“Kebanyakan rumah ini dalam kategori harga pertengahan, antara RM200,000 dan RM600,000,” katanya selepas Kajian Pasaran Hartanah Rahim & Co 2019/2020 hari ini.

Katanya, rumah-rumah itu mendapat permintaan daripada pembeli yang mahu mendiaminya.

Sulaiman Akhmady Mohd Saheh.

Mengenai unit rumah berlebihan, Sulaiman berkata kira-kira 18% daripadanya dalam kategori RM1 juta dan ke atas, dan 28% pula dalam kategori RM200,000-RM400,000.

Menurut beliau, secara keseluruhannya hartanah masih belum mampu dimiliki kerana gaji tidak setara harga.

Mengenai rumah berlebihan dalam kategori harga rendah, Sulaiman berkata beberapa faktor seperti kawasan yang tidak diingini, jenis hartanah, dan permintaan kurang menyumbang kepada keadaan itu.

“Kadang-kadang, isunya adalah rumah itu terletak jauh dari tempat orang bekerja. Mereka mahu rumah bertanah tapi unit yang ada mungkin hanya rumah pangsa rendah.”

Dari segi ruang pejabat pula, Sulaiman berkata terdapat 32 juta kaki persegi ruang-ruang yang belum diduduki di Lembah Klang, tak termasuk Putrajaya.

Sebagai perbandingan, bangunan tertinggi iaitu Exchange 106 mempunyai ruang boleh sewa sebanyak 2.6 juta kaki persegi.

Bagi ruang runcit pula, beliau berkata pusat beli-belah di kawasan-kawasan emas masih menikmati kadar kepenghunian yang baik kerana pasaran tetapi ada pusat beli-belah yang mempunyai kadar pusing ganti penghuni yang tinggi.

“Bagi tahun ini, kami menjangkakan pasaran hartanah akan memulih pada kadar sederhana.”

Beliau berkata ia mungkin mengambil masa beberapa tahun untuk pasaran pulih sepenuhnya memandangkan cabaran ekonomi sejagat, yang antara lain terkesan dengan perang perdagangan AS-China dan keterangan di Timur Tengah.

“Tetapi ia tidaklah semuram sebelum ini. Saya fikir yang terburuk kita pernah alami adalah pada 2017,” katanya, dan menambah langkah-langkah yang diambil kerajaan, seperti Kempen Pemilihan Rumah, sedikit membantu.

Meskipun begitu, isu utamanya adalah gaji yang secara perbandingannya masih rendah.

Beliau juga menyarankan pihak berkuasa perancang negeri bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk membangunkan strategi pasaran hartanah bagi mengelakkan situasi rumah berlebihan melarat.

Sulaiman juga berkata bank harus melaksanakan kajian kebolehlaksanaan sendiri sebelum meluluskan pinjaman kepada pemaju.

Selepas Krisis Kewangan Asia pada 1997, Sulaiman berkata Bank Negara menasihatkan bank melaksanakan kajian seperti itu. Terserah kepada bank untuk melaksanakannya, tambahnya.

Sulaiman berkata masalah timbul apabila bank meminta pemaju menyediakan kajian kebolehlaksanaan itu.

Perunding yang dilantik mungkin tidak objektif, dan pemaju mungkin tidak akan menggunakan dapatan yang tidak diingini dalam dokumen sokongannya, katanya.

“Bank harus melaksanakan kajian itu, menggunakan profesional bebas, bagi mendapatkan gambaran keadaan sebenar,” kata Sulaiman.