PBS gesa Sabah tangguh penerbangan dari Wuhan, elak wabak koronavirus

Pegawai Kementerian Kesihatan melakukan saringan suhu badan di KLIA. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menggesa kerajaan negeri pimpinan Warisan mempertimbangkan dengan serius untuk menangguhkan semua penerbangan harian terus dari Wuhan ke negeri itu susulan wabak koronavirus di China.

Ketua Penerangannya, Joniston Bangkuai, berkata kerajaan negeri harus lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam menangani isu itu.

“Terdapat 4 kematian yang dikaitkan dengan koronavirus dan 198 kes disahkan dilaporkan di Wuhan dan ini adalah alasan yang cukup untuk kita bimbang.

“Kenapa kita meletakkan diri kita dalam risiko dengan membenarkan penerbangan Wuhan ini terus ke Kota Kinabalu, pintu masuk ke seluruh negeri ini?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bangkuai, yang juga Adun Kiulu, berkata Warisan telah mewujudkan Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat selepas pilihan raya lalu untuk memberi penjagaan kesihatan dan perubatan yang lebih baik kepada rakyat Sabah.

“Kementerian ini harus mengambil langkah pencegahan dan memberi nasihat yang tegas kepada kerajaan negeri untuk menangguhkan penerbangan terus dari kawasan berisiko tinggi di mana terdapat wabak virus yang membawa maut.

“Sehingga hari ini, kita tidak pasti apa yang dilakukan oleh kementerian ini. Adakah kementerian ini mempunyai fungsi atau adakah ia ditubuhkan hanya untuk hiasan?” katanya.

Bangkuai berkata ia juga menyedihkan apabila Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Christina Liew berkata, pegawai kementeriannya hanya akan mengkaji sama ada terdapat keperluan untuk mengambil tindakan ke atas perkhidmatan penerbangan Kota Kinabalu-Wuhan susulan wabak di Wuhan.

“Kenapa dia tidak mengambil sikap yang lebih tegas dan agresif dalam menangani situasi yang sukar ini?

Beliau berkata PBS menjangkakan pihak berkuasa kesihatan, yang memasang pengimbas termal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan lapangan terbang lain di negeri ini, berhati-hati dalam memantau kesihatan semua pelawat terutamanya dari kawasan berisiko tinggi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr N Ganabaskaran percaya Kementerian Kesihatan meningkatkan pengawasannya di kebanyakan pintu masuk negara ini.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata pelancong dari kawasan yang terjejas mesti menjalani saringan kesihatan, termasuk mengambil suhu mereka dan mengisi soal selidik mengenai simptom semasa berada di dalam pesawat.

“Pelancong dengan gejala tambahan, seperti demam, batuk atau kesukaran bernafas, harus menjalani penilaian kesihatan tambahan.”