Saya tandatangan draf kerana saya fikir ia sudah lengkap, Najib beritahu mahkamah

Bekas perdana menteri, Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau menandatangani draf salinan memorandum untuk memindahkan pemilikan SRC International dari 1MDB kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) kerana beliau berpendapat dokumen yang berkaitan sudah dilengkapkan oleh pegawai kementerian.

Beliau berkata demikian ketika ditanya Pendakwa Raya Ad-Hoc V Sithambaram berhubung insiden pada 3 Feb 2012, di mana Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Mat Noor Nawi bertemu dengannya di balai menunggu Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang.

Mat Noor sebelum ini memberi keterangan bahawa beliau dan wakil SRC International, Zahid Taib bertemu Najib di pangkalan udara itu selepas dia diberitahu bahawa Najib mahu melihat salinan draf bagi pemindahan hak milik SRC International.

Mat Noor berkata beliau terkejut apabila Najib menandatangani salinan draf (bukannya menunggu salinan terakhir), selepas membacanya.

Najib hari ini berkata: “Saya tidak tergesa-gesa menandatanganinya. Saya fikir ia sudah lengkap.”

Mahkamah mendengar bahawa SRC International adalah anak syarikat 1MDB sehingga dipindahkan ke MKD pada 14 Februari 2012.

Bagaimanapun, Najib menafikan beliau mahu meletakkan SRC International di bawah pengawasannya secara langsung kerana beliau mempunyai kepentingan peribadi, walaupun dipersoalkan berulang kali oleh Sithambaram.

Najib berkata beliau mahu SRC International berjaya dan menjadi sebahagian daripada legasinya.

Sithambaram: Selama 7 tahun lalu, tidak ada rekod dari SRC dan anda tidak melakukan apa-apa?

Najib: Saya tukar CEO (Nik Faisal).

Perbicaraan berlangsung esok (22 Jan) di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Najib berdepan 6 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta ke akaunnya dari SRC International.

Beliau juga dituduh menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan kepada pinjaman RM4 bilion dari SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).