Shahrir Samad mahu dibicara selepas dituduh gagal isytihar RM1 juta

KUALA LUMPUR: Bekas pengerusi Felda, Shahrir Samad mengaku tidak bersalah terhadap 1 tuduhan mengikut undang-undang pengubahan wang di Mahkamah Sesyen hari ini, berkaitan dana yang dikatakan diterima daripada Najib Razak.

Shahrir dituduh gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri itu dalam penyata cukai 2013.

Bekas ahli Parlimen Johor Bahru itu dikatakan mendepositkan cek daripada Najib ke dalam akaun banknya pada 28 Nov 2013.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

Beliau berdepan hukuman penjara antara 5 hingga 15 tahun, denda RM5 juta atau 5 kali ganda daripada hasil haram itu.

Hakim Azura Alwi menetapkan ikat jamin RM350,000 dengan seorang penjamin. Beliau juga mengarahkan beliau menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sementara menunggu kes pengubahan wang selesai.

Mahkamah menetapkan 24 Februari untuk sebutan kes.

Peguam Shahrir, Syahrul Shazwan Salehudin sebelum ini memberitahu mahkamah ikat jamin RM500,000 yang dicadangkan Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol sebagai terlalu tinggi.

Beliau menambah anak guamnya memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sejak siasatan dilancarkan pada 2018.

Terdahulu, rakan separti, Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan mengaku tidak bersalah terhadap 2 tuduhan mengikut akta sama.

Mereka antara 80 individu dan pertubuhan yang dinamakan SPRM sebagai menerima lebih RM420 juta daripada Najib.

SPRM berkata dana itu daripada 1MDB.

Badan anti-rasuah itu mengeluarkan kompaun kepada mereka, menuntut mereka memulangkan wang itu.

Shahrir sebelum ini memohon semakan kehakiman pada 7 Okt 2019 bagi mencabar kompaun SPRM terhadap mereka, mendakwa kompaun itu terbatal dan tidak sah.

Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan memulakan semakan kehakiman terhadap SPRM itu.