Syed Saddiq hentam pemimpin DAP, PKR pro-Anwar

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pemimpin pro-Anwar dalam PKR dan DAP harus selesaikan masalah dalaman parti masing-masing.

PETALING JAYA: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini menghentam beberapa pemimpin Pakatan Harapan kerana “tidak habis-habis” menggesa Dr Mahathir Mohamad berundur dan membuka laluan kepada Anwar Ibrahim.

Ketua Pemuda PPBM itu menamakan 9 pemimpin PH daripada PKR dan DAP, yang dituduh membelakangkan konsensus yang membenarkan Mahathir mengetuai kerajaan.

Ini termasuk Ramkarpal Singh dari DAP, P Ramasamy dan Ronnie Liu, serta penyokong Anwar dalam PKR seperti Syed Husin Ali, Johari Abdul, Abdullah Sani, Akmal Nasir, Rafizi Ramli, dan Syukri Razab.

“Tidak sampai 2-3 tahun Mahathir memegang jawatan sebagai perdana menteri, mereka sudah mendesak Mahathir meletakkan jawatan.

“Bagaimana Mahathir ingin mentadbir negara jika setiap hari didesak, ditekan dan diserang oleh mereka yang dianggap sebagai sekutu Anwar?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Saddiq berkata tindakan mereka boleh dianggap tidak mengutamakan kepentingan negara.

“Perbaiki keadaan parti kamu! Berhenti tuntut perdana menteri yang dipilih secara demokrasi letak jawatan dan sila hormati konsensus PH!” katanya.

Mahathir baru-baru ini didesak mengumumkan tarikh khusus penyerahan kuasa kepada Anwar, seperti yang dipersetujui pemimpin PH sebelum pilihan raya umum 2018.

Beliau yang menjadi perdana menteri susulan kemenangan PH pada pilihan raya umum 2018 berulang kali berkata akan mengotakan janji itu selepas kira-kira 2 tahun.

Mahathir baru-baru ini mencadangkan penyerahan kuasa mungkin akan berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik di Kuala Lumpur pada November.