Tiada yang boleh dibanggakan, Otai Reformis ulas tempoh Dr M pegang PH

Pengerusi Otai Reformis, Idris Ahmad (2 dari kanan) dan Penulis buku ‘Anwar PM ke-8’ Shahbudin Husin (kiri) pada Bual Bicara Bersama Otai Reformis 1998 yang bertajuk ‘Dr M lepas jawatan Mei 2020?’.

KUALA LUMPUR: Kumpulan aktivis, Otai Reformis berkata tiada yang boleh dibanggakan selepas setahun setengah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memegang kerajaan Pakatan Harapan.

Pengerusinya, Idris Ahmad berkata begitu juga dengan prestasi Kabinet yang dipimpin Mahathir.

“Kalau syarikat ada CEO baru, diberi tempoh masa 6 bulan. Ini sudah setahun setengah tak ada tanda-tanda tunjukkan keadaan makin pulih.

“Tentang politik sekarang amat sedih, tengoklah DAP, kenyataan Lim Guan Eng dan Amanah oleh Mohamad Sabu. (Mereka) buat pusingan U sebab apa,” katanya pada program Bual Bicara Bersama Otai Reformis 1998 yang bertajuk “Dr M lepas jawatan Mei 2020?”.

Idris berkata kebanyakan menteri Kabinet “dipegang” Mahathir sehingga tiada yang berani menyuarakan mengenai tarikh peralihan kuasa perdana menteri.

“Style Mahathir biarkan mereka lakukan kesalahan, tetapi fail dia pegang,” katanya.

Menerusi persefahaman pimpinan PH, Anwar Ibrahim akan diangkat sebagai perdana menteri ke-8.

Pada 14 Januari lalu, Mahathir menyatakan kesediaannya melepaskan jawatan jika presiden parti dalam PH memintanya berbuat demikian.

Tarikh peralihan kuasa Mahathir kepada Anwar terus menjadi perbincangan sejak kebelakangan ini susulan tempoh 2 tahun yang disebut-sebut sebelum ini hampir tamat.

Namun Anwar sebelum ini berkata beliau dijangka mengambil alih jawatan itu daripada Mahathir pada tahun ini namun tidak pasti tarikh yang tepat.

Sementara itu, penulis buku “Anwar PM ke-8”, Shahbudin Husin berkata Majlis Presiden PH tidak berfungsi disebabkan ia tidak dapat menetapkan tarikh peralihan kuasa perdana menteri.

Beliau berkata sekiranya Majlis Presiden PH menetapkan tarikh peralihan kuasa, ia tidak menganggu pentadbiran kerajaan.

“Kenapa Majlis Presiden PH boleh berfungsi untuk pilih siapa calon perdana menteri dan pembahagian kerusi tetapi tidak menetapkan tarikh peralihan kuasa.

“Bermula malam ini, kita akan mulakan gerakan untuk menetapkan tarikh peralihan kuasa seperti mana Mahathir janjikan,” katanya.