Upacara angkat sumpah kongsi gelap diserbu, 114 ditahan termasuk wanita

KUALA LUMPUR: Seramai 114 individu ditahan polis semasa menyertai upacara angkat sumpah ahli kumpulan kongsi gelap “Double Seven” pada Sabtu lepas.

Perkara berkenaan disahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed ketika dihubungi Bernama semalam.

Beliau berkata ketua kumpulan kongsi gelap berkenaan turut ditahan dalam serbuan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman ke atas sebuah premis di Jalan Genting Klang.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa bilah pedang samurai dan barangan lain yang digunakan dalam upacara angkat sumpah untuk menyertai kumpulan kongsi gelap berkenaan.

“Daripada jumlah itu 107 orang merupakan lelaki selain seorang wanita warga tempatan sementara 5 lelaki serta seorang wanita lagi merupakan warga Singapura,” katanya.

Menurut Huzir, semua mereka dibawa ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) dan disiasat mengikut Akta Pertubuhan.

Beliau berkata semua suspek sedang diambil keterangan bagi membantu siasatan kes.