Warga Sri Lanka didakwa 80 tuduhan rogol anak teman wanita

Hakim menetapkan 15 Feb untuk sebutan semula kes dan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh bagi semua kes.

PUTRAJAYA: Seorang warganegara Sri Lanka hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak atas 80 pertuduhan merogol anak teman wanitanya yang juga gadis bawah umur, sejak 2 tahun lalu.

Lelaki berkenaan yang bekerja sebagai penjaga kepada gadis itu, dituduh merogol mangsa yang pada ketika itu berusia 13 tahun di sebuah rumah di Puchong pada 9 Jan 2018 sehingga 5 Nov 2019.

Tertuduh, 37, didakwa mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sampai 20 tahun dan juga dihukum sebatan jika sabit kesalahan. Seksyen 16(1) yang menyatakan orang yang mempunyai hubungan amanah, memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 5 tahun dan boleh disebat tidak kurang daripada 2 sebatan jika disabit kesalahan.

Hakim Yong Zarida Sazali menetapkan 15 Feb untuk sebutan semula kes itu dan tidak menawarkan jaminan terhadap lelaki itu bagi semua kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norazalina Razali tidak mencadangkan sebarang ikat jamin diberikan kepada tertuduh kerana tertuduh sedang menghadapi kes kesalahan di bawah Akta Imigresen di Mahkamah Petaling Jaya.

Beliau berkata tertuduh mempunyai risiko untuk melarikan diri dan berdasarkan siasatan pegawai penyiasat, ibu mangsa cuba menghantar (tertuduh) ke negara asal berdasarkan tarikh tiket penerbangan pada 25 Dis 2019, iaitu 8 hari sebelum tertuduh ditangkap.

Norazalina memberitahu mahkamah, tertuduh dan ibu mangsa telah berkahwin dengan tertuduh secara adat.

Beliau berkata kejadian berlaku ketika ibu mangsa pergi bekerja dan meletakkan mangsa serta adiknya di bawah jagaan tertuduh.

Sementara itu, peguam Muhammad Syazwan Mohd Hasan yang mewakili lelaki itu berkata pasport anak guamnya sedang dalam proses pengesahan.