45 pemimpin PKR pertahankan Zuraida

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.

PETALING JAYA: Seramai 46 pemimpin PKR, termasuk Zuraida Kamaruddin menuntut tindakan disiplin terhadap naib presiden itu dihentikan serta merta dan diselesaikan secara baik demi mewujudkan semula keharmonian dalam parti.

Kenyataan bersama 46 pimpinan PKR itu berkata sekiranya tindakan itu tidak dihentikan, mereka akan membincangkan tindakan selanjutnya berdasarkan prinsip perjuangan parti.

“Maka, presiden dan pimpinan PKR bertanggungjawab untuk memainkan peranan menerajui tahun 2020 dengan semangat dan iltizam baru yang memberi fokus kepada usaha penyatuan dan menyemarak perpaduan parti.

“Kami yakin dan percaya, sekiranya muafakat dapat dicapai maka pelaksanaan agenda reformasi dapat direalisasikan sekaligus menjamin prestasi dan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Antara yang menandatangani kenyataan itu ialah Timbalan Presiden, Azmin Ali; Naib Presiden Tian Chua dan Ali Biju; Ketua PKR Sarawak, Baru Bian; Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari dan Menteri Luar, Saifuddin Abdullah.

Selain itu Ketua Wanita PKR, Haniza Talha, R Sivarasa, Kamaruddin Jaafar, Elizabeth Wong dan Rashid Hasnon.

18 Jan lalu, 9 ketua PKR negeri mendesak lembaga disiplin memecat Zuraida atas dakwaan menghina parti dan tidak menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Terdahulu, Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail berkata, Zuraida diberikan 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab lembaga disiplin yang dipercayai ada kaitan dengan ucapannya di sebuah hotel bulan lalu.

Katanya, lembaga disiplin akan membuat keputusan selepas mendengar penjelasan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu.

Khabar angin mengenai pemecatan Zuraida bertiup kencang selepas bekas ketua Wanita PKR didakwa menghina ahli parti dan mendedahkan butiran perbualannya dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, ketika berucap dalam satu majlis makan malam anjuran Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali pada 8 Dis lalu.

Pemimpin PKR itu bagaimanapun berkata tindakan dan tekanan mendesak pemecatan Zuraida bermotifkan “mala fide” kerana cemburu terhadap kejayaan dan ketokohan beliau sebagai menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Mereka berkata Zuraida mempamerkan komitmen kerja yang cukup membanggakan serta budaya kerja yang cukup dinamik dalam kementerian.

“Beliau berjaya menterjemahkan reformasi dalam kerajaan menerusi dasar perumahan rakyat, memberdaya peranan pihak berkuasa tempatan dan ikhtiar mempertingkat kualiti kebersihan negara.

“Tekanan dan gangguan terhadap beliau merupakan tindakan selektif, berat sebelah dan berprasangka buruk.

“Tindakan ini hanya ditujukan terhadap sesetengah anggota parti tanpa menghiraukan beberapa tindakan provokatif lain yang dilakukan oleh beberapa pimpinan dan anggota lain yang berterusan mengeluarkan kenyataan yang memecahbelahkan parti,” kata mereka.