7 murid dijangkiti Influeza A di Sabah

SK Stella Maris di Tanjung Aru ditututp selama seminggu susulan 7 kes flu.

KOTA KINABALU: Seramai 7 murid dijangkiti virus influenza di sebuah sekolah rendah, kata Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Frankie Poon.

Enam orang didapati positif Influenza A manakala seorang lagi Influenza A jenis H1N1.

Semua murid-murid berkenaan belajar di SK Stella Maris, yang diarah tutup selama seminggu mulai hari ini, kata Poon.

“Influenza A ada 16 subjenis H dan 9 subjenis N. Terdapat 144 kombinasi H dan N – salah satunya H1N1.

“H1N1 sangat spesifik kerana ia punca wabak global pada 2009,” katanya dalam kumpulan WhatsApp kementerian.

Beliau menjelaskan kenyataan semalam tentang SK Stella Maris di Tanjung Aru ditutup selama seminggu selepas 6 murid didapati menghidap virus Influenza A jenis H1N1.

Poon berkata semua 7 murid itu sedang dirawat sama ada di klinik swasta atau di hospital dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Jabatan Kesihatan Negeri memaklumkan tidak ada keperluan untuk menutup sekolah-sekolah lain buat masa ini. Ia juga bergantung mengikut kes,” katanya.

Beliau menasihatkan ibu bapa untuk tidak menghantar anak yang demam ke sekolah bagi menghalang penyebaran virus.

Poon berkata jabatan kesihatan beri jaminan kes di negeri itu terkawal.

Beliau berkata Influenza A jenis H1N1 sebahagian daripada virus influenza bermusim yang biasa dan bukan seperti pada 2009 di mana ia dianggap wabak besar.

“Berdasarkan pengawasan dan trend yang direkodkan, ada kenaikan kecil dalam kes-kes influenza yang dilaporkan sejak pertengahan Disember lepas.

“Bagaimanapun, kenaikan itu masih dalam lingkungan normal,” katanya.