Anwar minta PH henti bincang peralihan kuasa secara terbuka

Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa semua pihak dalam Pakatan Harapan (PH) tidak membincangkan soal peralihan kuasa secara terbuka, susulan gesaan pimpinan PKR mendesak Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatannya.

Anwar berkata, beliau sendiri sudah memberi jaminan untuk menyokong Mahathir sebagai perdana menteri dalam mengemudi negara terutamanya mengukuhkan ekonomi.

“Saya gesa semua pihak dalam PH untuk tidak membicarakan soal peralihan kuasa secara terbuka dan menghormati konsensus yang sudah disepakati pada Jan 2018.

“Saya sudah memberi jaminan untuk menyokong Dr Mahathir dalam ikhtiar mengemudi negara terutama mengukuhkan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menghentam beberapa pemimpin PH kerana “tidak habis-habis” menggesa Mahathir berundur dan membuka laluan kepada Anwar.

Ketua Pemuda PPBM itu menamakan 9 pemimpin PH daripada PKR dan DAP, yang dituduh membelakangkan konsensus yang membenarkan Mahathir mengetuai kerajaan.

Ini termasuk Ramkarpal Singh dari DAP, P Ramasamy dan Ronnie Liu, serta penyokong Anwar dalam PKR seperti Syed Husin Ali, Johari Abdul, Abdullah Sani, Akmal Nasir, Rafizi Ramli, dan Syukri Razab.

Menurut Anwar, PH dan Mahathir sudah berulang kali menegaskan komitmennya untuk menjayakan proses transisi seperti yang dipersetujui.

“Maka sewajarnya kita turut menghormati keputusan tersebut agar ia berlaku secara aman dan teratur,” katanya.

Menerusi persefahaman pimpinan PH, Anwar Ibrahim akan diangkat sebagai perdana menteri ke-8.

Pada 14 Jan lalu, Mahathir menyatakan kesediaannya melepaskan jawatan jika presiden parti dalam PH memintanya berbuat demikian.

Beliau juga mencadangkan penyerahan kuasa mungkin akan berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik di Kuala Lumpur pada Nov.

Tarikh peralihan kuasa Mahathir kepada Anwar terus menjadi perbincangan sejak kebelakangan ini susulan tempoh 2 tahun yang disebut-sebut sebelum ini hampir tamat.