Baik pulih landasan kereta api Seremban-Port Dickson di peringkat kajian

Anthony Loke Siew Fook.

PORT DICKSON: Kementerian Pengangkutan sedang menjalankan kajian bagi membaik pulih landasan kereta api dari Seremban ke Port Dickson.

Menteri Anthony Loke Siew Fook berkata kajian itu termasuk melihat kebolehlaksanaan projek landasan kereta api itu memandangkan landasan sedia ada sudah lama tidak digunakan dan terdapat jajaran yang tidak boleh digunakan lagi.

“Memang ada rancangan untuk hidupkan semula landasan kereta api Seremban-Port Dickson. Cadangan ini di peringkat kajian untuk lihat sejauh mana boleh dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Sembilan semalam.

“Jajaran itu saya difahamkan ada sebahagian masih boleh dijalankan tapi ada sebahagian tidak sesuai namun kita akan lihat dan kaji kebolehlaksaan projek landasan ketapi Seremban ke Port Dickson…saya tidak mahu bagi pengumuman apa-apa lagi sebab masih di peringkat kajian,” tambahnya.

Loke turut menyarankan kepada orang ramai agar menggunakan pengangkutan awam ketika musim perayaan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.