Bayi dilahirkan berat 1 tin coke kini hidup normal

Siapa sangka bayi perempuan yang dilahirkan pada usia 24 minggu dengan berat 340 gram kini hidup sebagai seorang kanak-kanak normal.

Daily Mail UK melaporkan, saiz tapak tangan Isabella Evans hanya seberat duit syiling 1 Pound Sterling kerana dilahirkan pramatang selepas ibunya Kym Brown mengalami komplikasi serius yang membahayakan nyawa bayi dan ibunya.

Bagaimanapun Isabella yang dilahirkan Jun tahun lalu terpaksa berdepan laluan sukar berjuang untuk terus hidup.

Ternyata perjuangan yang ditunjukkan bayi itu membuat Brown dan suaminya Ryan Evans bangga kerana mereka juga berjaya membesarkannya.

Brown, 26, disahkan mengandung pada Disember 2018 dan mengalami komplikasi sehingga doktor hanya memberikan jaminan 5% peluang untuk hidup.

Isabella menjadi bayi pramatang terkecil di Britain dalam tempoh 15 tahun kerana beratnya bersamaan dengan satu tin Coke.

Penderitaan kanak-kanak itu tidak terhenti di situ apabila doktor mengesan lubang pada usus dan memerlukan pembedahan segera selain dua pembedahan laser berasingan pada matanya tiga bulan kemudian.

Dia dibalut dan diletakkan di dalam inkubator bagi mengekal haba panas dan pada masa yang sama untuk membantu dia bernafas.

Kedua ibu bapanya terpaksa menunggu selama dua minggu untuk memeluknya buat kali pertama.

Gambar Kerry Davies.

“Kami telah bersiap sedia diri untuk apa jua situasi yang paling teruk, jadi apabila kami mendapat panggilan untuk mengatakan pembedahan berjalan dengan baik, kami sangat terkejut.

“Isabella hanya memakai jaket pertamanya selepas tiga bulan,” kata Brown.

Namun kini saat getir itu semua sudah berlalu dan kini Isabella menjadi seorang bayi yang sihat dengan berat normal iaitu 5.8kg.

Isabella juga sudah boleh merangkak dan mula berdiri malah mempunyai selera makan.

Untuk rekod, bayi terkecil sebelum ini ialah Aaliyah Hart dan beratnya hanya 340g ketika dilahirkan di Birmingham pada tahun 2003.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]