Guan Eng gesa bincang peralihan kuasa secara dalaman

Lim Guan Eng melancarkan program e-Tunai Rakyat di Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA: Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyertai beberapa rakan Kabinet yang menyeru perbincangan secara dalaman mengenai peralihan kuasa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sukar untuk mengenakan perintah cegah siar di negara demokrasi, namun lebih baik Pakatan Harapan (PH) membincangkan perkara itu secara dalaman.

“Pertengkaran secara terbuka hanya akan memberi manfaat kepada lawan kita. Mari kita fokus kepada pentadbiran dan menyelesaikan isu-isu ini secara dalaman,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program e-Tunai Rakyat, hari ini.

Lim berkata Mahathir sudah menetapkan tempoh untuk penggalnya.

“Majlis Presiden PH akan bermesyuarat dan menetapkan tarikh, dan sebaik sahaja tarikh itu ditetapkan, ia akan diumumkan pada masa yang sesuai,” katanya.

Sebelum ini, Mahathir berkata beliau akan menyerahkan jawatannya kepada Anwar selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada November.

Hari ini, Anwar berkata beliau sudah memberi jaminan untuk menyokong Mahathir sebagai perdana menteri dalam mengemudi negara terutamanya mengukuhkan ekonomi.

“Saya gesa semua pihak dalam PH untuk tidak membicarakan soal peralihan kuasa secara terbuka dan menghormati konsensus yang sudah disepakati pada Jan 2018,” katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menghentam beberapa pemimpin PH kerana “tidak habis-habis” menggesa Mahathir berundur dan membuka laluan kepada Anwar.

Ketua Pemuda PPBM itu menamakan 9 pemimpin PH daripada PKR dan DAP, yang dituduh membelakangkan konsensus yang membenarkan Mahathir mengetuai kerajaan.