Harga lebih relevan, Proton X50 bakal gugat keluaran SUV jenama lain?

Selepas beberapa kali kemunculan model prototaip Proton X50 kelihatan di jalan raya, nampaknya SUV segmen-B yang hangat diperkatakan sejak tahun lalu bakal dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi.

Berita itu disahkan sendiri oleh CEO Proton, Li Chunrong yang mengatakan pelancarannya akan dilakukan tahun ini.

Proton X50 ini akan menjadi pelancaran kedua terbesar Proton untuk tahun 2020, selepas model X70 CKD yang dihasilkan di Tanjung Malim.

Berbeza dengan model X70, Proton X50 mempunyai rekabentuk yang lebih kecil dan mendapat versi pemasangan tempatan.

Untuk pengetahuan anda, kilang Proton yang terletak di Tanjung Malim ini akan menjadi satu-satunya kilang yang menghasilkan SUV SX11 dalam versi pemanduan sebelah kanan.

Manakala kilang di China masih lagi menghasilkan model pemanduan sebelah kiri Geely Binyue dan juga model pasaran Filipina Geely Coolray.

Sebelum ini, Proton X70 berjaya memecahkan rekod jualan SUV apabila 8,500 unit terjual hanya selepas 100 hari ia dilancarkan.

Persoalannya ialah berapakah harga yang bakal ditawarkan untuk Proton X50 nanti.

Apabila Proton X70 dilancarkan tahun 2018, harga yang paling murah untuk crossover C segmen tersebut ialah sekitar RM99,800 sudah cukup murah untuk menembusi pasaran yang didominasi oleh Honda CRV.

Geely sudahpun melancarkan Geely Coolray (X50) di pasaran Filipina dengan harga permulaan sekitar RM78,000 untuk varian termurah, RM87,000 untuk varian pertengahan dan juga RM96,000 untuk varian paling premium.

Jika ditawarkan di Malaysia dengan harga yang sama, ia bakal memberikan pengguna pilihan yang sangat baik berbanding dengan pesaingnya yang lain seperti HRV, CX-3 dan juga CH-R.

Kesemua varian tersebut ditawarkan dengan enjin 3 silinder 1500cc yang menghasilkan kuasa 175 kuasa kuda dengan 255Nm tork.

Kesemua varian ditawarkan dengan pilihan transmisi 7 kelajuan klac berkembar.

Terdapat satu lagi pilihan enjin 3 silinder 1000cc yang ditawarkan dengan kuasa 134 kuasa kuda dengan 205Nm tork. Namun setakat ini kita tidak dapat pastikan sama ada enjin tersebut akan ditawarkan di pasaran Malaysia nanti.

Katakan dengan kos untuk melakukan kerja-kerja kejuruteraan dengan menukar pemanduan sebelah kiri ke kanan akan meningkatkan harga kereta sebanyak RM5000, maka varian termurah X50 akan dapat dijual pada harga RM83,000 dan varian paling premium akan dijual pada harga RM101,000.

Bukan sahaja harga kompetitif yang ditawarkan di Filipina, malah Geely Coolray turut dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan dan juga rekaan yang lebih futuristik di dalam kelasnya.

Menjadikan model itu antara SUV yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia.

Sama-sama kita nantikan berita pelancaran rasmi model Proton X50 ini dalam masa terdekat.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]