Mahkamah benarkan pakar Najib tentukan kesahan tandatangan

Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Najib Razak memohon seorang pakar dibolehkan untuk menentukan kesahan tandatangannya pada 7 dokumen bank dan syarikat dalam perbicaran rasuah SRC International.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata permohonan itu dibenarkan demi keadilan.

“Sekalipun permohonan itu sesuatu yang difikirkan kemudian, adalah menjadi kewajipan mahkamah untuk memelihara integriti dan keadilan proses perbicaraan,” katanya.

Nazlan juga akan menentukan kebolehpercayaan saksi-saksi pihak pembelaan pada penghujung kes pihak pembelaan.

Hakim bagaimanapun mengehadkan permohonan Najib kepada dokumen-dokumen tertentu.

“Pihak pembelaan mesti mengatur pemeriksaan itu dijalankan minggu depan tetapi hanya 2 hari,” katanya.

Hakim juga memutuskan pemeriksaan mesti dibuat di mahkamah.

Nazlan juga memutuskan pihak pembelaan boleh mengemukakan keterangan-keterangan menyangkal untuk mencabar testimoni pakar pihak pembelaan.