Pembangkang Sabah puji pembatalan PSS

Pemimpin pembangkang berkata terdapat cara lebih baik untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin berbanding PSS di Sabah. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Pemimpin pembangkang Sabah mengalu-alukan keputusan kerajaan Sabah membatalkan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS).

Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin berkata beliau berterima kasih kepada kerajaan yang dipimpin Warisan kerana mendengar keluhan rakyat dan turut berterima kasih kepada pengundi Kimanis yang mendorong kepada keputusan itu.

“Ucapan terima kasih saya yang pertama adalah kepada rakyat di Kimanis dan pilihan raya kecil baru-baru ini kerana jika bukan kerana mereka, mungkin kerajaan akan meneruskan rancangan itu.

“Saya juga berharap kerajaan akan mengadakan satu lagi rancangan untuk menyelesaikan isu pendatang tanpa izin di Sabah – hanya kerana mereka tidak meneruskan PSS, tidak bermakna mereka perlu berhenti,” katanya kepada FMT.

Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal hari ini berkata Kabinet negeri bersetuju untuk tidak meneruskan PSS susulan keputusan PRK Kimanis.

“Setelah mendengar suara rakyat di (semua) peringkat dan bukan hanya pada PRK Parlimen Kimanis, bahkan secara keseluruhan suara rakyat yang tidak inginkan (membantah PSS) dan kita (kerajaan negeri) dengar suara ini,” katanya.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Maximus Ongkili, berkata langkah untuk membatalkan PSS adalah kemenangan kepada rakyat Sabah.

“Pembatalan PSS merupakan kemenangan untuk rakyat Sabah. Kami telah menyatakannya berterusan bahawa dokumen yang dicadangkan ini merosakkan kedaulatan, keselamatan dan kehidupan rakyat Sabah.

“Kami memuji Shafie kerana menghormati suara pengundi Kimanis, PBS dan parti pembangkang lain, serta semua rakyat Sabah.

“Kami berharap dan berdoa mereka akan menghormati keputusan ini kerana kerajaan Pakatan Harapan-Warisan terkenal dengan pusingan U,” kata ahli Parlimen Kota Marudu itu.

Ongkili berkata terdapat cara lebih baik untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin berbanding PSS.

“Terdapat keperluan untuk membentuk jawatankuasa pemilih di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen, dan wakil rakyat PBS akan berada di sana untuk membantu dan menyumbang.”

Sementara itu, Presiden Parti Kerjasama Anak Negeri, Henrynus Amin menggambarkan keputusan membatalkan PSS sebagai “betul, bijak dan tepat pada masanya”.

“Ini dialu-alukan oleh semua rakyat Sabah yang tidak berpuas hati atau curiga mengenai motif di sebalik PSS,” katanya.

Henrynus juga mengingatkan rakyat Sabah bahawa pembatalan PSS bukanlah pengakhiran masalah pendatang tanpa izin.