PH capai ‘triple win’ dalam penyelesaian isu tol

Najib Razak kini rajin memutar-belitkan isu lebuhraya bertol kerana apa yang Barisan Nasional gagal capai selama ini akan ditunaikan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Nampaknya bekas perdana menteri Najib sudah pening dan hilang akal memikirkan bagaimana nak pertahankan dasar lebuh raya bertol kerajaan BN yang menganiayai rakyat.

Biar saya ingatkan beliau mengenai dasar lebuh raya PLUS bawah kerajaan BN:

(i) Pada 1999, tempoh konsesi lebuh raya PLUS dilanjutkan selama 12 tahun dari 2018 sehingga 2030 dengan peningkatan kadar tol 26% setiap 3-5 tahun sehingga 2016.

(ii) Pada 2005, tempoh konsesi lebuh raya PLUS dilanjutkan sekali lagi selama 8 tahun dari 2030 sehingga 2038, di mana kadar tol akan meningkat 10% setiap 3 tahun.

(iii) Pada 2011, kadar tol lebuh raya PLUS distruktur semula supaya kadar tol meningkat 5% setiap 3 tahun, manakala semua konsesi lebuhraya lain bawah kumpulan PLUS iaitu, Lebuh Raya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (Elite), Jambatan Pulau Pinang, Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuh Raya Laluan Ke-2 Johor-Singapura (Linkedua) dan Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH) – dilanjutkan sehingga 2038 dan juga dikenakan jadual kenaikan masing-masing.

Bawah kerajaan BN, walaupun konsesi dilanjutkan beberapa kali, tidak pernah sekali pun kadar tol menurun, malah kadar tol masih akan meningkat setiap 3 tahun mengikut perjanjian konsesi.

Walaupun pengguna PLUS ada kalanya tidak dikenakan kenaikan kadar tol, tetapi kerajaan masih perlu membayar pampasan kepada pihak konsesi mengikut perjanjian yang dirunding oleh BN. Pada zaman BN, pampasan melebihi RM3 bilion terpaksa dibayar oleh kerajaan kepada pihak konsesi untuk membekukan kadar tol.

Sebaliknya, dengan penstrukturan yang baru daripada kerajaan PH, rakyat akan menikmati pengurangan tol untuk kali pertama dalam sejarah lebuh raya PLUS, iaitu diskaun 18% daripada kadar semasa.

Tambahan lagi, kadar ini tidak akan lagi meningkat mengikut perjanjian sehingga tamatnya konsesi, tak seperti semasa zaman BN di mana kadar tol akan meningkat sekurang-kurangnya 5% setiap 3 tahun mengikut perjanjian konsesi.

Sebagai contoh, kadar tol bagi perjalanan antara Kuala Lumpur dan Alor Setar akan masih kekal pada RM45.50 pada 2038 berbanding dengan formula Najib iaitu RM82.00 pada tahun yang sama. Ini merupakan pengurangan sebesar 44.5%.

Dengan penstrukturan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan PH, kadar tol akan dibekukan sepanjang konsesi dengan diskaun 18% tanpa memerlukan 1 sen pampasan pun daripada pihak kerajaan.

Ini bermaksud pampasan sebanyak RM26 bilion dapat dijimatkan oleh kerajaan PH sepanjang konsesi berbanding dengan kadar tol zaman Najib. Jumlah yang besar ini akan diperuntukkan kepada rakyat serata Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak dalam bentuk kebajikan dan pembangunan ekonomi, dan bukannya kepada syarikat lebuh raya bertol.

Malah, pemansuhan kutipan tol di 3 plaza tol PLUS mulai 2018 yang sering diungkit oleh bekas perdana menteri sebagai “pencapaian” beliau pula mengikat kerajaan dengan bayaran pampasan sebanyak RM856 juta yang masih terhutang kepada PLUS.

Nasib baik dengan pelan yang diumumkan oleh perdana menteri baru-baru ini, “hutang” ini daripada kerajaan kepada PLUS akan dilupuskan dan tidak perlu lagi dibayar. Ini secara langsung membolehkan kerajaan persekutuan untuk memperuntukkan semula jumlah ini kepada lain-lain perbelanjaan yang lebih memanfaatkan rakyat seluruh Malaysia.

Secara jelas, Najib gagal menunaikan janji manifesto BN pada 2013 untuk mengurangkan kadar tol. Saya ingin memperingatkan beliau BN menaikkan kadar tol di lebuh raya-lebuh raya lain pada 2015.

Sekarang Najib pening dan gelisah kerana kerajaan PH berjaya mencapai “triple win” di mana:

(i) Pengguna lebuhraya akan menikmati diskaun tol sebanyak 18% dengan tiadanya peningkatan kadar tol selama-lamanya;

(ii) Rakyat seluruh negara akan menerima manfaat bernilai melebihi RM26 bilion dengan penjimatan pampasan yang tidak lagi perlu dibayar oleh kerajaan kepada PLUS;

(iii) manakala pada masa yang sama, hak dan kepentingan pemegang saham syarikat PLUS – Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja – tidak terjejas.

Ini bermaksud nilai aset PLUS tidak akan merosot dalam penstrukturan ini, dan bayaran dividen dari KWSP kepada pekerja tidak akan terjejas.

Tony Pua adalah setiausaha politik kepada menteri kewangan.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.