Semua lesen senapang dibatal dalam melawan pemburu haram, pengganas

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

KUALA LUMPUR: Semua lesen pemilikan senapang jenis raifal, yang dikenal pasti sebagai senjata api popular pemburu haram, akan dibatal secara berperingkat-peringkat, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, pembatalan lesen itu antara usaha drastik polis dalam usaha menghentikan kegiatan pemburuan haram yang dilihat semakin berleluasa.

Selain itu, timbul isu kebimbangan serta kemungkinan senjata api berkenaan jatuh ke tangan kumpulan pengganas.

“Pada masa sama, polis turut menghentikan kelulusan syarat berburu bagi pemohon lesen senapang baru,” katanya kepada Bernama.

Hamid berkata polis juga sedang mengenal pasti hampir 7,000 pemilik senapang yang mempunyai lesen berburu berumur lebih 70 tahun bagi membatalkan syarat berburu yang dimiliki mereka.

Isu pemburuan haram terhadap binatang liar mula menarik perhatian ramai apabila 2 ekor gajah Pygmy Borneo ditemui mati dengan kesan tembakan di Sabah masing-masing pada 17 Okt dan 25 Sept lepas, dengan gading gajah didapati hilang dipercayai angkara pemburu haram.

Susulan kejadian itu, pihak berkuasa melancarkan operasi khas dikenali sebagai Ops Khazanah dalam usaha membanteras kegiatan pemburuan haram sekali gus menyelamat dan memulihara khazanah hutan negara, yang ada antaranya hampir pupus.

Dua batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Senoi Praaq, Bidor, Perak membabitkan 1,073 anggota dikerah bagi menjalankan Ops Bersepadu Khazanah di hutan negara.

Ketika ditanya mengenai masyarakat yang bergantung hidup dengan berburu, Hamid berkata: “Terdapat sesetengah orang yang bergantung hidup dengan berburu seperti Orang Asli dan penduduk yang tinggal jauh di pedalaman. Usaha akan dijalankan bagi memujuk mereka untuk bersama-sama memelihara flora dan fauna di hutan”.