Singkir Zuraida berisiko tapi akan tempangkan Azmin, kata penganalisis

Zuraida Kamaruddin popular dalam kalangan akar umbi PKR tetapi jadi sasaran mudah dalam persaingan Anwar-Azmin.

PETALING JAYA: Zuraida Kamaruddin mungkin tidak dilihat sebagai pesaing Anwar Ibrahim, tetapi sokongan akar umbi yang kuat yang dimiliki naib presiden PKR itu menjadikan beliau sasaran ketika kumpulan ketua parti itu ternanti-nanti Dr Mahathir Mohamad menyerahkan tampuk kepimpinan.

Sumber dalam parti memberitahu FMT bahawa sokongan terbuka Zuraida kepada Mohamed Azmin Ali dalam persaingannya dengan Anwar adalah sesuatu yang membimbangkan, kerana beliau boleh menarik sokongan untuk timbalan presiden PKR itu.

Sebab itulah pemimpin-pemimpin bahagian yang bersekutu dengan Anwar menyeru beliau dipecat, katanya.

“Malah, Zuraida, walaupun bukan calon perdana menteri, ada sokongan akar umbi yang lebih banyak berbanding Zamin. Beliau juga popular dalam kalangan rakyat di kawasannya,” kata seorang pemerhati.

Beliau berkata kumpulan pro-Anwar dalam PKR menyedari perkara itu, dan oleh itu mengenakan tekanan ke atas jawatankuasa disiplin untuk menyingkir Zuraida.

“Zuraida adalah penampannya,” kata sumber dalaman itu lagi. “Singkir dia dan kamu boleh jatuhkan Azmin dengan mudah,” tambahnya.

Seorang penganalisis politik juga mempunyai pandangan sama, walaupun beliau percaya Azmin dan Zuraida saling bergantung untuk hayat politik mereka.

“Azmin perlukan Zuraida dan sebaliknya,” kata Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia.

“Tidak syak lagi Zuraida kunci kepada hayat Azmin menghadapi serangan politik dalam PKR.”

Beliau bersetuju penyingkiran Zuraida akan meletakkan Azmin dalam bahaya.

“Kekuatan Azmin akan jadi sangat lemah, dan beliau juga mungkin keluar parti dan ini akan mengurangkan pengaruh PKR dalam Pakatan Harapan,” kata Azmi.

Zuraida dipanggil ke jawatankuasa disiplin PKR, yang mahu beliau menjelaskan kenyataannya yang dibuat pada satu majlis yang dihadiri bersama Azmin selepas kongres parti itu bulan lepas.

Sekurang-kurangnya 10 ketua PKR negeri menuntut peletakan jawatannya, kerana didakwa menghina parti dan tidak menghadiri 13 mesyuarat majlis pimpinan pusat.

Tetapi menurut Azmi, serangan terhadap Zuraida itu sebenarnya mesej buat Azmin: tindakan akan diambil terhadap keingkaran.

“Anwar perlu menunjukkan beliau menguasai PKR sepenuhnya dan malangnya Zuraida sasaran paling besar dan paling mudah untuk menggugat Azmin.”

Beliau berkata Anwar menyedari perkara itu, dan mungkin tidak akan memecat Zuraida, kerana ia boleh melemahkan PKR.

Itu akhirnya boleh memberi kesan pada cita-citanya untuk menjadi perdana menteri.

Beliau berkata Anwar membuat beberapa percaturan yang silap.

“Anwar berpeluang untuk mengukuhkan kuasa dan berdamai dengan Azmin pada Kongres Nasional PKR pada Disember tetapi platform itu digunakan untuk memburukkkan Azmin dan sekutu dan sekarang mereka sudah berpatah arang.”

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata sebarang langkah untuk menyingkir Zuraida akan membawa kecelakaan kepada Azmin.

“Ketiadaannya dalam PKR akan memberi kesan pada masa depan politik Azmin dan sekiranya dia dipecat, ia akan dilihat sebagai serangan terhadap Azmin.”

Awang Azman bagaimanapun memberi amaran jangan memandang rendah Anwar, yang terbukti sebagai seorang yang mampu bertahan dalam politik.

“Saya fikir beliau akan dapat mengukuhkan kuasa dalam parti dan dalam masa sama bertindak terhadap mereka dalam parti itu yang secara terbuka mempersoalkan kuasanya.”