Batal PSS hasil desakan rakyat, kata Zahid Hamidi

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi ditemui pemberita selepas merasmikan ibu pejabat Kongres India Muslim Malaysia hari inim

KUALA LUMPUR: Umno menyambut keputusan kerajaan Sabah membatalkan Pas Sementara Sabah (PSS) yang menjadi fokus sepanjang Pilihan Raya Kecil Kimanis sebagai “hasil desakan rakyat”.

Presiden Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri Shafie Apdal atas pembatalan itu, mengatakan Barisan Nasional menjadi semak dan imbang di Sabah.

“Ini manifestasi suara rakyat,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Menurut Zahid, PSS tidak terdapat dalam sebarang cadangan yang dibuat oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pendatang tanpa izin di Sabah.

“Semasa saya menjadi timbalan perdana menteri juga tidak ada cadangkan PSS dilaksanakan di Sabah,” katanya.

Kabinet Sabah semalam bersetuju untuk tidak meneruskan PSS susulan keputusan PRK Kimanis, yang menyaksikan calon parti pemerintah, Warisan tewas di tangan calon Barisan Nasional yang meraih majoriti undi selesa.

Shafie berkata keputusan itu dibuat selepas mendengar suara rakyat di semua peringkat, bukan hanya pada pilihan raya kecil itu.

“Kita dengar suara ini,” katanya.