Benarkah Melayu malas?

Dulu kita sering mendengar dakwaan sesetengah pihak menyatakan yang Melayu itu malas.

Ramai yang marah dengan kenyataan tersebut, malah ada juga yang mengakui akan perkara itu.

Namun dari siapa dan bagaimana kenyataan itu boleh timbul?

Secara asasnya, terdapat pelbagai usaha dilakukan kerajaan bagi membantu golongan Melayu dan Bumiputera agar dapat bersaing dalam sektor ekonomi dengan lebih baik.

Tindakan tersebut sekaligus dikatakan meminggirkan orang Cina dan India sehinggakan dasar-dasar yang dibentuk didakwa bersifat tidak adil dan patut dimansuh sepenuhnya.

Menurut kajian “Educational Patterns in Colonial Malaya”, dakwaan tersebut tidak benar kerana banyak kajian dilakukan di mana masalah utama orang Melayu bukanlah disebabkan sikap malas.

Tetapi disebabkan masalah kekangan yang secara tidak sengaja dalam aspek pendidikan menyebabkan orang Melayu ketinggalan berbanding Cina dan India.

Populasi Tanah Melayu semasa kemerdekaan

Sekitar tahun 1957, populasi Tanah Melayu mempunyai masyarakat majmuk dengan jumlah penduduk sekitar anggaran 6.28 juta orang.

50% daripadanya adalah orang Melayu dan kaum pribumi, 37% orang Cina, 11% orang India dan selebihnya merupakan pecahan etnik mewakili komuniti Pakistan, Ceylon, Thai serta Eurasia.

Kedatangan pendatang Cina dan India ke Tanah Melayu menyebabkan perubahan populasi di mana majoriti pendatang hanya untuk bekerja sebelum kembali ke negara asal mereka.

Namun, statistik pada 1957 menunjukkan 3/4 daripada jumlah orang Cina dan 2/3 daripada orang India yang ada di Tanah Melayu, lahir di Tanah Melayu.

Berikutan kewujudan komuniti Cina dan India dalam jumlah yang besar, British telah memperkenalkan sistem pendidikan berasaskan kaum di mana ia selaras mengikut sistem British iaitu 6 tahun sekolah rendah, 3 tahun menengah rendah dan 2 tahun menengah atas dengan penggunaan bahasa Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris menjadi pengantar mengikut aliran sekolah.

Namun, sekolah peringkat menengah yang dibuka hanya melibatkan pendidikan dalam aliran Inggeris dan Cina sahaja, dengan majoriti pelajar menyambung pendidikan dalam sekolah beraliran Inggeris.

Ini adalah faktor utama mengapa majoriti orang Melayu ketika itu hanya menamatkan pendidikan mereka setakat darjah 6 sahaja.

Ramai gagal meneruskan pengajian menengah

Maklumat berkaitan pendidikan rendah sehingga 1957 menunjukkan orang Melayu mempunyai kadar paling tinggi berjaya menamatkan persekolahan sekolah rendah, meninggalkan kaum Cina dan India.

Bagaimanapun, sejauh mana Melayu ketinggalan kajian menunjukkan hanya 24% sahaja yang menyambung pelajaran ke peringkat menengah, sementara peratusan Cina dan India pula lebih tinggi iaitu 37%.

Inilah isu utama yang menyebabkan orang Melayu ketinggalan sejak sekian lama.

Mengapa isu ini timbul?

Masalah utama yang menyekat orang Melayu daripada menyambung pelajaran adalah disebabkan ketiadaan sekolah menengah yang berhampiran dengan tempat mereka tinggal.

Selain itu, kurang minat atau tidak layak menyambung pengajian aliran Inggeris juga menjadi penghalang.

Dilihat juga prestasi pelajar Melayu ketika itu adalah sama dengan pelajar Cina dan India yang berjaya menyertai sekolah peringkat seterusnya.

Tetap sistem pendidikan zaman tersebut memaksa golongan Melayu berhenti belajar.

Kekangan itu dipercayai dalam dua bentuk iaitu ketiadaan akses ke sekolah peringkat menengah yang sesuai serta keperluan menyertai sekolah rendah aliran Inggeris sebagai pra-syarat bagi meneruskan pengajian di sekolah menengah aliran Inggeris.

Orang Melayu pada ketika itu lebih gemar kekal dalam sekolah rendah aliran Melayu.

Mengambil kira kemajuan di beberapa negeri iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Perak, pencapaian orang Melayu dalam pendidikan direkodkan jauh lebih baik berbanding kaum Cina dan India.

Tetapi, apabila ramai Melayu yang tercicir di peringkat menengah, ia juga menyebabkan kadar pelajar Melayu yang tidak menyambung pelajaran adalah tinggi.

Situasinya menjadi lebih buruk di negeri Johor, Kedah, Perlis, Kelantan, Pahang dan Terengganu yang mempunyai penduduk Melayu sebagai majoriti kerana mencatatkan tempoh persekolahan yang lebih rendah dan berhadapan masalah keciciran yang lebih runcing, disebabkan ketiadaan laluan yang lebih baik bagi meneruskan pengajian.

Data yang diperolehi secara tidak langsung menunjukkan bagaimana British membuat perancangan jangka panjang dalam aspek pendidikan, namun ia lebih kepada untuk memuaskan hati penduduk Tanah Melayu.

Penekanan kepada pendidikan Inggeris menyebabkan orang Melayu memboikot usaha British sehinggakan bangsa tersebut menjadi mangsa.

Rata-ratanya terpaksa menamatkan pengajian kerana tiada akses atau tidak datang dari sekolah aliran Inggeris sehingga menyebabkan jurang kemahiran dan pengetahuan antara kaum semakin merenggang.

Statistik menunjukkan kesedaran orang Melayu dalam aspek pendidikan telah terbentuk sekian lama, di mana 80% orang Melayu berjaya menamatkan pengajian sekolah rendah melebihi Cina dan India.

Namun kadar ini menurun ketara apabila masuk ke peringkat sekolah menengah.

Ini bermakna mitos yang menyifatkan sikap malas orang Melayu yang kerap kali di popularkan British sebenarnya tidak benar.

Malah sistem yang dibangunkan British membolehkan kaum Cina dan India lebih maju ke depan dalam pendidikan, kerana pada dasarnya dua kaum itu lebih mesra British dan lebih terbuka untuk menurut apa saja sistem yang diperkenalkan British pada mereka.

Berikutan rendahnya penglibatan orang Melayu yang menyambung pengajian ke aliran Inggeris sekolah menengah, akhirnya kaum Melayu dituduh malas belajar, kerana tidak sanggup bersusah payah bersaing dengan kaum lain.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]