Fatwa Selangor mengenai SIS digantung sementara menunggu rayuan

(Dari kiri) Peguam Maizatul Amalina dan Surendra Anath bersama-sama pengarah eksekutif SIS Rozana Isa.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Sisters in Islam (SIS) untuk menangguhkan pelaksanaan fatwa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pada 2014 yang mengisytiharkan kumpulan itu sebagai sesat.

Fatwa tu digantung sementara menunggu permohonan SIS kepada Mahkamah Rayuan pada Sept lepas.

Penangguhan pelaksanaan penguatkuasaan itu dibuat oleh Hakim Nordin Hassan.

Keputusan tersebut bermakna tindakan penguatkuasaan tidak boleh diambil oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Mais ke atas SIS buat sementara waktu.

Fatwa Mais pada 2014 menyebut kumpulan hak asasi itu menganut fahaman liberalisme dan pluralisme agama serta menyeleweng daripada ajaran Islam.

SIS mencabar fatwa tersebut tetapi Mahkamah Tinggi pada Ogos menolak permohonan mereka atas alasan mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu kerana ia tertakluk kepada undang-undang Syariah negeri.

Bercakap kepada pemberita selepas pendengaran kes, pengarah eksekutif SIS Rozana Isa berkata, keputusan tersebut menunjukkan mahkamah mengiktiraf hak mereka di bawah perlembagaan persekutuan.

“Saya gembira dengan keputusan ini kerana ia bermakna kerja-kerja kami boleh diteruskan dari segi memperjuangkan hak wanita dan kanak-kanak Islam di Malaysia tanpa perlu terlalu bimbang tentang risiko.

“Dalam pada itu, saya memandang ke hadapan kepada perbicaraan. Kami berpeluang hadir ke mahkamah dan mudah-mudahan keadilan akan tertegak.”