Kementerian Pendidikan tamat khidmat AJK pemansuhan Auku

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan menamatkan khidmat ahli-ahli jawatankuasa kerja yang terdiri daripada aktivis-aktivis pelajar bagi mengkaji Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), FMT difahamkan.

Mengesahkan perkara itu, seorang ahli jawatankuasa mempersoalkan langkah menyingkirnya dan rakan-rakan, mengatakan ia berlaku ketika mereka akan menyerahkan laporan draf kepada kementerian.

Azura Nasron juga berkata mereka dimaklumkan mengenai penamatan khidmat mereka menerusi pesanan WhatsApp pada Sabtu, tanpa sebarang penjelasan.

“Kami mahu penjelasan…sekurang-kurangnya, panggil kami untuk serah tugas kepada ahli baru,” katanya kepada FMT.

Seorang sumber di kementerian memberitahu FMT keputusan itu dibuat kerana terlalu banyak tentangan daripada ahli-ahli jawatankuasa terhadap cadangan wakil kementerian.

Seorang sumber yang dipercayai seorang penyokong bekas menteri Maszlee Malik pula mendakwa langkah itu mengesahkan keresahan bahawa Dr Mahathir Mohamad, yang memangku portfolio pendidikan buat sementara, akan mengecilkan reformasi membolehkan lebih banyak kebebasan akademik.

Ketika dihubungi, Bahagian Mahasiswa Holistik di kementerian mengesahkan kepada FMT bahawa ahli-ahli jawatankuasa itu sudah digugurkan, mengatakan keputusan itu sudah lama dipertimbangkan.

Pengarah Zaid Omar berkata keputusan itu adalah muktamad dan lantikan-lantikan baru akan diumumkan tidak lama lagi.

“Kita akan lantik AJK baru yang ‘segar’ dan mereka yang masih bergelar mahasiswa untuk memberikan pandangan mereka dalam usaha reformasi Auku,” katanya kepada FMT.

Jawatankuasa itu, yang ditugaskan untuk mengkaji pemansuhan Auku ditubuhkan pada Dis 2018.

Di bulan sama, Dewan Rakyat meluluskan pindaan ke atas akta itu, menarik balik sekatan ke atas kebebasan politik dan akademik.

Auku antara beberapa undang-undang drakonian yang Pakatan Harapan janji akan mansuh dalam manifesto pilihan rayanya.

Undang-undang itu, digubal pada 1971, dipinda pada 1975 bawah Mahathir semasa menjadi menteri pendidikan, melarang pelajar di institusi pendidikan tinggi awam dan swasta aktif dalam politik dan menyertai tunjuk perasaan.

Mahathir mempertahankan langkah itu sebagai tindakan betul pada ketika itu, disebalik tunjuk perasaan anti-kerajaan besar-besaran oleh pelajar, mengatakan pelajar Melayu ketinggalan dari segi akademik kerana terlibat dalam politik.