Keputusan batal PSS bukan kerana tekanan, kata Shafie

Ketua Menteri Shafie Apdal (tengah) meninjau kemajuan pembinaan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu harai ini.

KOTA KINABALU: Keputusan kerajaan Sabah membatalkan rancangan Pas Sementara Sabah (PSS) adalah berdasarkan kehendak rakyat, bukannya kerana tekanan mana-mana pihak, kata Ketua Menteri Shafie Apdal hari ini.

Shafie berkata, rancangan pas pendatang asing itu sebenarnya dimulakan oleh kerajaan sebelum ini dan kerajaan hari ini hanya memperbaikinya.

“Tetapi kita dengar suara rakyat apabila kita lihat keputusan pilihan raya kecil (PRK) Kimanis. Ini kehendak mereka. Kita juga lihat pusat daerah mengundi, terutamanya di kawasan Kadazanusun Murut (KDM) dan ia jelas.

“Rakyat telah menyuarakan kebimbangan mereka. Justeru saya fikir, kita perlu menangani isu itu dan itu jugalah keputusan kita, iaitu membatalkan PSS,” katanya.

Shafie bercakap kepada pemberita selepas meninjau kemajuan pembinaan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.

Semalam beliau mengumumkan keputusan Kabinet negeri untuk tidak meneruskan rancangan pelaksanaan PSS berikutan kekalahan calon Warisan dalam PRK Kimanis.

Shafie, yang merupakan ahli Parlimen Semporna berkata, beliau telah berhubung dengan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin tentang keputusan kerajaan negeri untuk tidak meneruskan PSS.

“Saya hantar surat kepadanya untuk memaklumkan langkah kita dan saya juga bercakap dengannya,” kata Shafie, selain menambah bahawa beliau percaya Muhyiddin telah memaklumkan kepada Kabinet pusat berhubung pendirian kerajaan negeri itu.

Dalam pada itu Shafie berkata, SICC yang boleh menampung kira-kira 5,000 orang akan dibuka kepada orang awam awal bulan depan.

Menurut beliau, ia kini siap 97% dan apabila dibuka akan menjadi salah satu pusat konvensyen terbesar di rantau ini.