Kerajaan Sabah digesa rangka penyelesaian komprehensif masalah pendatang

Pemimpin pembangkang Sabah Jeffrey Kitingan mencadangkan kerajaan melibatan semua pemegang taruh bagi mencapai konsensus kepada masalah pendatang asing.

KOTA KINABALU: Pemimpin pembangkang Sabah Jeffrey Kitingan memberitahu kerajaan negeri pimpinan Warisan supaya bersikap inovatif dalam mencari jalan penyelesaian kepada isu pendatang asing di negeri itu, terutama sekali apabila ia memutuskan untuk membatalkan rancangan Pas Sementara Sabah (PSS).

Kitingan, yang merupakan ahli Parlimen Keningau berkata, walaupun beliau berterima kasih kepada Ketua Menteri Shafie Apdal kerana mendengar suara rakyat, namun beliau juga tertanya-tanya apakah penyelesaian berkesan yang dirangka bagi mengatasi masalah pendatang asing setelah PSS dibatalkan.

“Jika kerajaan negeri ikhlas untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin, ia harus tampil dengan mekanisme baru yang berkesan bagi mengatasi masalah tersebut secara tuntas dan muktamad.

“Menteri negeri harus berhenti berfikir bahawa rakyat kurang cerdik dan boleh diperdayakan dengan kata-kata manis yang kosong.

“Kita mahu penyelesaian tuntas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jeffrey berkata, rakyat meragui pengumuman bahawa Sabah membatalkan idea PSS kerana pada hari yang sama, salah seorang menteri kanan Shafie, Peter Anthony berkata, kerajaan kini mencari mekanisme lebih baik bagi membolehkan pas pendatang itu diterima.

“Apakah beliau bermaksud, PSS akan dilaksanakan juga akhirnya, mungkin dengan nama lain,” soal beliau.

Jeffrey yang merupakan presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mencadangkan supaya kerajaan melibatkan semua pemegang taruh bagi mendapatkan konsensus dalam menangani masalah terbesar di negeri Sabah.

“Kita cadangkan kerajaan mengkaji masalah itu secara objektif. Perlu ditentukan apakah masalah yang perlu diselesaikan kerana semua masalah tidak boleh dikelompokkan di bawah PSS.

“Masalah pendatang tanpa izin di Sabah mempunyai beberapa peringkat dan melibatkan orang berbeza dari negara berlainan.

“Terdapat kes serius melibatkan warga Filipina, Indonesia dan Pakistan. Mengikut turutan itu,” katanya dengan menambah bahawa semua pendatang tanpa izin mesti dihantar pulang ke negara asal kerana ia adalah undang-undang.

Jeffrey berkata, pemegang kad pelarian iMM13 paling layak diberikan pertimbangan khas bagi mendapatkan kewarganegaraan atau PSS, tetapi bukan pemegang dokumen lain.

“Tetapi pemegang IMM13 dan anak-anak mereka mestilah merupakan pelarian tulen. Dokumen IMM13 yang dikeluarkan selepas 1985 hendaklah ditolak,” katanya.

“Pemegang kad burung-burung atau sijil banci yang dikeluarkan sebelum 1995 boleh dipertimbangkan untuk petempatan sementara atau diberikan pas kerja secara bulanan atau 3 bulanan, dengan syarat mereka memiliki pasport sah.

“Sementara itu orang lain hendaklah dikawal selia mengikut undang-undang imigresen dan pekerja kita,” katanya.