Lembaga disiplin akan beri ‘jawapan baik’, Anwar ulas nasib Zuraida

PETALING JAYA: Anwar Ibrahim yakin lembaga disiplin PKR akan membuat keputusan yang baik dalam menentukan nasib Naib Presiden Zuraida Kamaruddin, selepas 46 pemimpin parti itu menuntut tindakan dihentikan atas dakwaan ia berniat jahat.

Presiden PKR itu menolak dakwaan tentang cubaan mempengerusi keputusan lembaga itu ketika spekulasi mengatakan Zuraida akan dipecat, berhubung kenyataan-kenyataan yang dilihat kritikal terhadap Anwar di satu majlis pro-Azmin bulan lepas.

“Kita tidak boleh paksa lembaga disiplin buat apa-apa keputusan. Saya tidak tahu apa-apa. Mereka tunggu jawapan Zuraida,” katanya kepada pemberita di satu program di Universiti Sultan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu.

Zuraida diberi tempoh 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab yang diserahkan pada 17 Jan lepas.

“Saya pasti mereka (lembaga disiplin) akan bagi jawapan yang baik kerana perlantikan lembaga disiplin dibuat oleh pimpinan,” katanya.

Ditanya pemberita mengenai kenyataan bersama 46 pemimpin parti termasuk Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali, Anwar sekali lagi mengingatkan keputusan di tangan lembaga disiplin.

“Mereka gesa supaya kalau boleh lembaga disiplin tarik balik (tindakan terhadap Zuraida). Ini keputusan lembaga disiplin, mereka bebas buat keputusan,” katanya.

Beliau mendakwa dalam kalangan 46 yang dinamakan dalam kenyataan itu, “ada yang beritahu saya mereka tidak tandatangan.”

Mengenai dakwaan ada tindakan terancang terhadap Zuraida, Anwar menjawab, “biar dia (Zuraida) jawab dalam lembaga disiplin.”

Kenyataan bersama 46 pimpinan PKR itu berkata sekiranya tindakan itu tidak dihentikan, mereka akan membincangkan tindakan selanjutnya.

Kenyataan itu menyusuli desakan 9 ketua PKR negeri yang mahu lembaga disiplin memecat Zuraida atas dakwaan menghina parti dan tidak menghadiri mesyuarat majlis pimpinan pusat.