Malaysia tingkat pembelian gula dari India di sebalik isu sawit

Buruh mengangkat guni berisi gula untuk diletakkan ke atas lori di sebuah pasar di Kolkata, India. (Reuters pic)

KUALA LUMPUR: Syarikat penapisan gula utama akan meningkatkan pembelian komoditi itu dari India, yang menurut 2 sumber sebahagian usaha menenangkan New Delhi di sebalik pertelingkahan mengenai minyak sawit.

MSM Malaysia Holdings Berhad akan membeli 130,000 tan gula mentah dari India pada suku pertama, kata syarikat itu kepada Reuters. Syarikat itu membeli kira-kira 88,000 tan gula mentah dari India pada 2019.

Syarikat itu tidak menyatakan pertikaian minyak sawit sebagai sebab kenaikan dalam pembelian itu.

India, pembeli minyak makan terbesar dunia, pada bulan ini menghentikan pengimportan minyak sawit Malaysia, langkah yang dilihat sebagai tindak balas terhadap komen perdana menteri mengkritik dasar New Delhi mengenai Kashmir.