Penganalisis jelas kenapa pecat Zuraida boleh bunuh cita-cita Anwar

Dr Mahathir Mohamad mengalu-alukan lebih ramai ahli Parlimen mengukuhkan partinya, termasuk Zuraida Kamaruddin dan penyokong sekiranya beliau dipecat PKR. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebarang keputusan untuk memecat Zuraida Kamaruddin boleh memakan diri Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan akhirnya menjejaskan peluang mengambil alih daripada Dr Mahathir Mohamad, kata seorang penganalisis.

Pemerhati politik, Azmi Hassan berkata mungkin dalam kepentingan PKR untuk mengekalkan Zuraida, yang diberi surat tunjuk sebab oleh lembaga disiplin parti.

Azmi meramalkan Zuraida dan penyokong akan berhijrah ke PPBM.

“Mahathir akan dapat manfaatnya, kerana lebih ramai ahli Parlimen untuk PPBM bermakna kedudukannya lebih kuat dan beliau akan ada pengaruh untuk kekal sebagai perdana menteri,” katanya kepada FMT.

“Pengikut setia Anwar tidak mahu itu,” katanya.

Mahathir berjanji untuk memberi laluan kepada Anwar selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik pada November, tetapi pengikut setia Anwar mahu peralihan kuasa berlaku pada Mei, apabila Mahathir sudah cukup 2 tahun di jawatan tertinggi itu.

Zuraida bersekutu dengan Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali, yang secara terbuka menyokong Mahathir kekal sehingga penggal 5 tahun tamat.

Zuraida berdepan pemecatan daripada PKR berhubung kenyataan-kenyataan yang dilihat kritikal terhadap Anwar di satu majlis pro-Azmin bulan lepas.

Semalam, 44 pemimpin PKR menggesa jawatankuasa disiplin menghentikan tindakan terhadap Zuraida, mengatakan langkah itu “mala fide” dan boleh menggugat perpaduan parti.

Azmi berkata jawatankusa disiplin mungkin akan temui sebab-sebab untuk memecat beliau, tetapi memberi amaran ia akan hanya meningkatkan ketegangan antara Anwar dan Azmin, yang masing-masing mempunyai “cita-cita menjadi perdana menteri”.

Seorang sumber dalaman parti memberitahu FMT, Zuraida mungkin akan hanya diberi amaran.

“Tetapi ia bergantung kepada nada responnya,” kata sumber itu yang dekat dengan kumpulan dalaman Anwar.

“Kita akan tengok nada suratnya. Kalau nadanya seolah-seolah meminta maaf, ia menunjukkan beliau mahu membaiki hubungan dengan Anwar.

“Tetapi kalau jawapannya keras, kami akan mendesak dia dipecat,” katanya kepada FMT.

Seorang lagi sumber yakin Zuraida tidak akan dipecat.

Ini berdasarkan kepada keputusan untuk tidak memecat sekutu penting Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang juga setiausaha politiknya, walaupun beliau mengecam Azmin dalam hal video seks sejenis.

Pada Ogos 2019, lembaga disiplin PKR berkata ia berpuas hati dengan penjelasan Farhash.

Sumber berkata ketiadaan Zuraida dalam mesyuarat parti juga mungkin tidak boleh digunakan terhadapnya.

“Kalau Zuraida boleh tunjukkan beliau ada komitmen-komitmen kementerian pada hari-hari dia tidak hadir, beliau akan dilepaskan,” katanya.