Pesara, pengurus syarikat katering lesap lebih RM700,000 angkara Macau Scam

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, mangsa berusia 66 tahun itu berada di rumahnya di Seberang Jaya ketika menerima panggilan telefon daripada seorang wanita memaklumkan beliau daripada Pos Laju Kuala Lumpur. (Gambar Bernama)

BUKIT MERTAJAM: Seorang pesara swasta kerugian RM618,303 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa wanita warga emas itu terlibat dalam jenayah pengubahan wang haram bulan lepas dan hanya menyedari semua wang dalam akaun miliknya lesap semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, dalam kejadian kira-kira 9 pagi 11 Dis lepas, mangsa berusia 66 tahun berada di rumahnya di Seberang Jaya ketika menerima panggilan telefon daripada seorang wanita memaklumkan dia daripada Pos Laju Kuala Lumpur.

Wanita itu bertanya sama ada mangsa ada melakukan hantaran dari Kuantan, Pahang ke Miri Sarawak dan memaklumkan imbasan ke atas bungkusan mendapati terdapat sekeping kad pengenalan dan kad kredit mangsa.

Panggilan itu disambungkan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Cheong kononnya daripada Ibu pejabat Polis Kontinjen Pahang yang meminta maklumat peribadi mangsa dan setelah membuat semakan maklumat mangsa dan wanita itu didapati terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram, katanya di sini hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, seterusnya panggilan itu disambungkan kepada seorang lagi lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Ang dan lelaki itu kemudian mengarahkan mangsa mengeluarkan semua wang simpanannya dan memasukkan ke dalam akaun baru milik pesara itu untuk disiasat pihak audit Bank Negara.

“Suspek meminta mangsa membuka akaun baru di sebuah bank melalui perbankan dalam talian dan kata laluan diberikan kepada suspek untuk tujuan siasatan Bukit Aman.

“Wanita itu mendakwa sejak 13 Dis hingga 26 Dis beliau memasukkan wang secara berperingkat ke dalam akaun barunya itu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa mendakwa lelaki yang mengaku Sarjan Ang itu berjanji untuk menghubungi semula wanita berkenaan, namun tiada sebarang panggilan diterima dan beliau membuat semakan akaun barunya dan mendapati semua duitnya telah tiada semalam, sebelum membuat laporan polis.

“Mangsa syak ditipu sebelum bertindak membuat laporan polis. Siasatan kami mendapati wang yang terdapat dalam akaun wanita itu dipindahkan ke beberapa akaun menerusi pindahan dalam talian kerana suspek mempunyai kata laluan akaun milik warga emas tersebut,” katanya.

Sementara itu di BUTTERWORTH, seorang pengurus sebuah syarikat katering mengalami kerugian RM153,180 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa lelaki itu terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 47 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki mendakwa pegawai daripada mahkamah dan memaklumkan mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram serta pengedaran dadah.

Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada seorang lelaki yang kononnya pegawai polis dari Bukit Aman memperkenalkan diri sebagai Raja Afiq dan bersedia membantu mangsa, namun pengurus itu perlu mengikut arahannya, katanya di sini hari ini.

Lelaki yang menyamar pegawai polis itu memberikan tekanan emosi kepada mangsa sehingga mangsa yang takut dan bimbang ditangkap memindahkan wangnya ke beberapa akaun sementara yang diberikan Raja Afiq untuk tujuan siasatan serta mengelak duit dalam akaunnya dibekukan, katanya di sini hari ini.

Noorzainy berkata, selain itu mangsa turut memberikan maklumat akaun, termasuk kata laluan perbankan dalam talian kepada suspek dan hanya menyedari beliau tertipu selepas gagal menghubungi semula suspek semalam.

“Lelaki itu kemudiannnya menyemak akaunnya dan mendapati wangnya sebanyak RM153,180 dengan pindahan yang dibuat kepada 4 akaun yang berbeza sebelum membuat laporan polis semalam,” katanya.

Siasatan lanjut kedua-dua kes masih dijalankan, termasuk mengesan pemilik akaun digunakan sindiket itu untuk memindahkan wang dari akaun milik pesara dan pengurus syarikat katering itu dan kes disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.