PLUS tawar diskaun tol 20% sempena Tahun Baru Cina

Diskaun tol 20% diberikan kepada pengguna kenderaan persendirian di Lebuhraya Utara-Selatan, lebuh raya NKVE, Lebuhraya Seremban-Port Dickson dan lebuh raya ELITE, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura, Lebuhraya Butterworth-Kulim dan LPT2.

KUALA LUMPUR: Pengguna rangkaian lebuh raya PLUS Malaysia Bhd (PLUS) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) akan menikmati diskaun tol 20% Ahad ini bersempena perayaan Tahun Baru Cina.

PLUS dalam kenyataan memaklumkan potongan kadar 20% itu bermula pada jam 12 tengah malam sehingga 11.59 malam, 25 Jan.

Diskaun itu diberikan kepada pengguna kenderaan persendirian di Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Utara-Selatan Tengah (ELITE).

Turut menikmati diskaun itu ialah pengguna Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua); Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE); Jambatan Pulau Pinang; dan LPT2.

Bagaimanapun, diskaun tidak diberikan untuk transaksi tol di Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor dan pengguna Jambatan Pulau Pinang yang kini menikmati diskaun tol 20% sedia ada menerusi kad Touch ‘n Go.