Putrajaya, Jakoa masih gagal laksana pembangunan untuk Orang Asli, kata Ramli Mohd Nor

Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor berkata, Pelan Strategik Pembangunan Masyarakat Orang Asli yang dirangka oleh Putrajaya sejak tahun lalu bagi menangani isu utama dihadapi masyarakat itu adalah ibarat ‘bermimpi di siang hari’.

PETALING JAYA: Putrajaya pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang ada pada hari ini gagal melaksanakan aspirasi dalam membangunkan masyarakat Orang Asli, kata ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor.

Ramli berkata, Pelan Strategik Pembangunan Masyarakat Orang Asli yang dirangka oleh Putrajaya sejak tahun lalu bagi menangani isu utama dihadapi masyarakat Orang Asli di diibaratkan seperti “bermimpi di siang hari”.

“Saya menerima aduan daripada masyarakat Orang Asli semasa lawatan kerja ke kawasan Parlimen Cameron Highlands dan lawatan ke perkampungan Orang Asli di negeri Pahang, Perak, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Rata-rata menzahirkan kepentingan sumber ekonomi, sosial, pendidikan dan infrastruktur asas iaitu sumber air bersih, eletrik, jalan dan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) masih diabaikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, beliau turut menerima aduan daripada pengusaha pengangkutan bas sekolah di perkampungan Orang Asli Pos Terisu, Cameron Highlands yang tidak dibayar perkhidmatan selama 6 bulan.

Katanya, perkhidmatan tersebut terpaksa ditamatkan pengusaha yang mengakibatkan anak Orang Asli tidak dapat ke sekolah.

Bahkan katanya, sehingga kini masalah bayaran perkhidmatan itu masih dibuat di beberapa daerah.

“Saya bercakap dengan pegawai Jakoa Daerah Cameron Highlands dan beliau mencadangkan isu ini diselesaikan melalui mesyuarat bersama PIBG sekolah, iaitu dengan memohon PIBG membantu membawa murid terbabit ke sekolah.

“Saya amat terkejut dengan cadangan ini kerana amat jelas JAKOA secara tidak langsung cuba untuk lepas tangan melaksanakan tanggungjawabnya terhadap masyarakat Orang Asli,” katanya.

Katanya, sepanjang 2 tahun kerajaan PH mentadbir Putrajaya, tidak ada satu projek pembangunan atau baik pulih infrastruktur asas seperti air, eletrik, jalanraya dan perumahan PPRT dilaksanakan di Parlimen Cameron Highlands.

“Ada projek yang sudah diluluskan semasa pemerintahan BN dibatalkan. Perkara yang sedemikian juga berlaku di semua kawasan perkampungan Orang Asli yang saya lawati di negeri lain,” katanya.

Tambahnya, dalam isu bantuan pendidikan, didapati hanya ibu bapa atau penjaga Orang Asli yang berpendapatan kurang RM2,000 sebulan layak menerima bantuan yang disediakan oleh JAKOA.

“Apalah agaknya dasar yang dilaksanakan di peringkat vkolej dan universiti. Saya percaya ia akan menggagalkan aspirasi untuk memajukan tahap pendidikan Orang Asli ke peringkat tertinggi,” katanya.