Sukar panggil kerabat diraja Saudi beri keterangan mengenai derma RM2.6 bilion, kata Najib

Bekas perdana menteri Najib Razak berdepan 7 pertuduhan pengubahan wang, pecah amanah jenayah dan menyalahgunakan kedudukan.

KUALA LUMPUR: Najib Razak hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa sukar bagi pihak pembelaan memanggil kerabat diraja Arab Saudi untuk menjadi saksi berhubung derma RM2.6 bilion yang dikatakan diterimanya antara 2011 dengan 2014.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian semasa disoal Timbalan Pendawa Raya V Sithambaram sama ada kerabat diraja berkenaan akan dipanggil memberi keterangan di mahkamah untuk mengesahkan perkara itu.

Sithambaram: Saya katakan pada anda, dari awal lagi, dari 2011 hingga 2014, anda tahu bahawa wang berkenaan bukan daripada kerabat diraja Arab Saudi.

Najib: Saya tidak setuju…kerana sebahagian daripada wang itu datang secara terus daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi.

Sithambaram: Tiada anggota kerabat diraja Arab Saudi akan datang ke mahkamah dan mengesahkannya, betul?

Najib: Sukar untuk mendapatkan mereka datang ke mahkamah.

Mendengar jawapan itu, Sithambaram berkata ia juga memudahkan Najib untuk mengekalkan “ceritanya:, tetapi bekas menteri kewangan itu tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut.

Menjawab soalan lain semasa pemeriksaan balas di peringkat pembelaan itu, Najib, 67, berkata, beliau tidak tahu siapakah pemilik Tanore Finance Corporation, pihak yang dinamakan sebagai penerima dana AS$620 juta (RM2.2 bilion) yang dikembalikannya.

Najib berkata beliau tidak memeriksa sama ada pemilik syarikat itu adalah anggota kerabat diraja Arab Saudi atau idak kerana Low Taek Jho, atau yang lebih dikenali sebagai Jho Low, adalah saluran kepada kerabat diraja itu.

Sithambaram: Saya katakan kepada anda, Tanore bukan dimiliki oleh kerabat diraja Arab Saudi.

Najib: Saya tidak dapat mengesahkannya.

Sithambaram: Daripada bertanya kepada Jho Low kepada siapa wang itu dihantar, tidakkah lebih baik memeriksanya dengan penderma?

Najib: Saya tidak periksa kerana Jho Low adalah saluran kepada kerabat diraja itu.

Sithambaram: Ia satu jumlah wang yang sangat besar. Tidakkah lebih baik jika memeriksanya dengan individu yang menulis surat kepada anda?

Najib: Tidak, kerana Jho Low dinamakan oleh kerabat diraja…kerana dia berurusan dengan Putera Al Turki (Putera Faisal Al Turki) pada masa itu.

Sithambaram: Bagaimanakah anda secara peribadi mengetahuinya? Adakah kerabat diraja itu meletakkan kedua-dua anda di dalam bilik dan memberitahu anda bahawa Jho Low adalah penama mereka?

Najib: Tidak…saya mengetahuinya.

Sithambaram: Adakah anda bersetuju bahawa Jho Low dikaitkan dengan Tanore?

Najib: Menurut laporan, tetapi saya tidak dapat mengesahkannya.

Najib membela diri terhadap 7 tuduhan menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta, yang terdiri daripada 3 tuduhan pecah amanah, 3 tuduhan pengubahan wang haram dan 1 tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.