Teksi, bas kini layak nikmati diskaun 18% kadar tol lebuh raya PLUS

Diskaun 18% kadar tol di lebuh raya PLUS kini turut meliputi teksi dan bas.

PETALING JAYA: Putrajaya akan melaksanakan pengurangan kadar bayaran tol sebanyak 18% bagi kenderaan penumpang, bas dan teksi (iaitu Kelas 1, 4 dan 5) di semua lebuh raya milik PLUS mulai 1 Feb.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini berkata, antara lebuh raya yang terlibat ialah Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (Link Kedua).

Selain itu, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP) juga tersenarai.

“Kadar tol untuk kelas kenderaan komersial akan terus kekal pada kadar tol semasa tanpa peningkatan sehingga tamat konsesi tol,” katanya.

Lim berkata melalui penurunan kadar tol sebanyak 18% tersebut, semua pihak yang terlibat akan
mendapatkan jumlah penjimatan sehingga RM1.1 bilion secara langsung untuk tahun 2020.

Beliau berkata, ini adalah termasuk penjimatan sebanyak RM0.5 bilion daripada diskaun 18% dan juga penjimatan RM0.6 bilion daripada bayaran pampasan kerajaan untuk membekukan kenaikan kadar tol.

“Bayaran pampasan sebanyak RM0.6 bilion ini tidak lagi digunakan untuk manfaat pengguna lebuh raya dan syarikat konsesi, sebaliknya ia boleh disalurkan kepada projek kebajikan dan pembangunan ekonomi di seluruh negara,” katanya.

Pada 17 Jan, kerajaan mengumumkan pengurangan kadar bayaran tol sebanyak 18% bagi pengguna kenderaan persendirian di semua lebuh raya milik PLUS mulai 1 Feb.

Berikutan pengumuman tersebut, bekas perdana menteri Najib Razak mengkritik keputusan tersebut dengan berkata, ia tidak meliputi teksi, bas dan kenderaan perdagangan.

Beliau juga berkata, syarikat pengangkutan terpaksa menanggung kadar sama kerana ia hanya membabitkan kenderaan persendirian.

Terdahulu Putrajaya memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan penjualan konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Berhad.

Perdana Menteri Dr Mahathir berkata, syarikat konsesi itu juga dikehendaki mengurangkan kadar bayaran tol sebanyak 18% dan mengekalkannya di semua lebuh raya PLUS untuk tempoh masa 30 tahun.