Aktivis muda dakwa Otai Refomis buat rancangan sulit desak Dr M berundur

Pengerusi Angkatan Baru, Muzzammil Ismail (tengah) membuat laporan polis terhadap Otai Reformis di Balai Polis Pantai, hari ini.

KUALA LUMPUR: Sebuah kumpulan aktivis anak muda hari ini membuat laporan polis terhadap kumpulan Otai Reformis, yang mendesak peralihan kuasa Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim.

Pengerusi Angkatan Baru, Muzzammil Ismail berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, wujud rancangan dan mesyuarat sulit dilakukan kumpulan aktivis pro-Anwar itu untuk menggulingkan pentadbiran perdana menteri.

“Sepatutnya perkara ini dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH). Mereka perlu berlapang dada dan berjiwa besar menerima apa sahaja keputusan yang akan dibuat.

“Apabila ada desakan dari pihak tidak bertanggungjawab, ia akan memberi kesan tidak baik pada kestabilan politik dan kerajaan PH sendiri,” katanya sewaktu ditemui FMT, selepas membuat laporan polis di Balai Polis Pantai.

Terdahulu, Otai Reformis mendakwa tidak ada yang boleh dibanggakan selepas setahun setengah Mahathir memegang tampuk pemerintahan kerajaan PH dan menggesa peralihan kuasa berjalan dalam kadar segera.

Pengerusinya, Idris Ahmad berkata, sehingga ke hari ini kebanyakan menteri Kabinet “dipegang” oleh Mahathir hinggakan tiada yang berani menyuarakan mengenai tarikh peralihan kuasa.

Muzzammil Ismail.

Dalam laporan polis yang dibuatnya, beliau mendakwa Otai Reformis mengadakan pertemuan khas dengan pertubuhan tertentu untuk membentuk satu gerakan besar-besaran di seluruh negara bagi mendesak Mahathir meletakkan jawatan dengan segera.

“Kaedah digunakan Otai Reformis ini serupa seperti apa yang mereka laksanakan pada 1998. Ketika itu, mereka menghasut rakyat, mengundang campur tangan asing, menjayakan siri demonstrasi terhadap kerajaan diterajui Mahathir,” katanya.

Muzzammil menambah, Mahathir sendiri secara terbuka menyatakan akan menyerahkan tampuk kepimpinan pada Anwar dalam keadaaam baik dan sewajarnya Otai Reformis menghormati kaedah yang diguna pakai.

“Kalau semua orang bertenang, tidak lakukan provokasi dan tidak bertindak keras, kita percaya peralihan kuasa berjalan baik. Kita minta polis mengawal sekiranya terdapat unsur fitnah dan adu domba.

“Kita juga meminta polis mengawal atau membuat kekangan terhadap pihak-pihak yang cuba untuk merosakkan keharmonian dalam PH. Desakan serius ini menyebabkan imej Mahathir teruk terjejas, khususnya di mata rakyat,” katanya.

Ketika ditanya, adakah Angkatan Baru yang terdiri daripada anak muda mahu menentang Otai Reformis, yang pengikutnya lebih berusia, Muzzammil berkata, kumpulannya membawa agenda politik matang, bukannya menggunakan kaedah kekerasan.

“Kita mahu pemimpin-pemimpin yang ada ini duduk berbincang, tidak mahu sebarang desakan-desakan bersifat kekerasan. Kita mahu perbincangan dalam bentuk meja bulat, kita harapkan transisi peralihan kuasa berjalan baik,” katanya.

Pada 14 Januari lalu, Mahathir menyatakan kesediaannya melepaskan jawatan jika presiden parti dalam PH memintanya berbuat demikian.

Tarikh peralihan kuasa Mahathir kepada Anwar terus menjadi perbincangan sejak kebelakangan ini susulan tempoh 2 tahun yang disebut-sebut sebelum ini hampir tamat.

Namun Anwar sebelum ini menggesa semua pihak dalam PH tidak membincangkan soal peralihan kuasa secara terbuka, susulan gesaan pimpinan PKR mendesak Mahathir melepaskan jawatannya.