Bekas menteri kenang buat tanglung tanpa kekecohan semasa Tahun Baru Cina

Seorang pemimpin parti politik mendakwa ibu bapa pelajar SMK Pusat Bandar Puchong I merasakan tanglung ialah cubaan untuk menyebarkan kepercayaan agama lain kepada pelajar Islam.

PETALING JAYA: Bekas menteri persekutuan berkata kontroversi hiasan Tahun Baru Cina yang kecoh di sebuah sekolah menengah di Puchong, baru-baru ini tidak sepatutnya dijadikan isu sejak awal lagi.

Mengenang kembali sewaktu bergelar pelajar, Nancy Shukri berkata beliau dan rakan sekelas membuat tanglung menggunakan kadbod merah dan pengokot semasa kelas pendidikan seni, seminggu sebelum Tahun Baru Cina.

Ahli Parlimen Batang Sadong itu berkata banyak tanglung pelajar digantung di dalam kelas dan kemudian dibawa pulang.

“Ia tidak pernah menjadi isu, malah ibu bapa kami pun. Keluarga kami tahu penting bagi kami memupuk perpaduan dengan memahami dan turut serta dalam acara budaya kaum lain,” katanya dalam mesej Tahun Baru Cina.

Sebagai negeri pelbagai kaum, katanya, rakyat Sarawak saling meraikan tradisi masing-masing selama beberapa dekad.

Awal bulan lalu, seorang pemimpin Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dalam surat yang ditujukan kepada pengetua SMK Pusat Bandar Puchong I memaklumkan beliau menerima aduan ibu bapa yang tidak selesa dengan hiasan “berlebihan” Tahun Baru Cina di sekolah berkenaan.

Naib Presidennya, Mohd Khairul Azam berkata tindakan sekolah berkenaan bertentangan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan kerana ibu bapa merasakan hiasan terbabit ialah cubaan untuk menyebarkan kepercayaan agama lain kepada pelajar Islam.

Ia mendorong beberapa menteri Kabinet, termasuk Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, melawat sekolah itu, dalam langkah yang dikatakan Nancy dengan pantas menyelesaikan masalah itu.

“Jadi, walaupun isu itu dapat diselesaikan dengan cepat, ia tidak sepatutnya menjadi isu pada mulanya.”

Nancy berkata setelah mencapai begitu banyak perpaduan di Sarawak, seseorang itu tidak sepatutnya mengambil kesempatan.

Sarawak, katanya, adalah tempat yang unik di mana semua rakyat, tidak kira bangsa atau agama, boleh berjaya.

Menjadi kewajipan rakyat Sarawak mengekalkannya dan tidak membiarkan pengaruh luar menyelinap masuk dengan ideologi terpesong mereka dengan kata-kata seperti “pendatang” – yang sering ditujukan kepada golongan minoriti – yang kelihatan sering timbul.

“Ia tiada tempat di sini kerana kita semua sama tanpa mengira kaum atau agama.”