Bersih rekod 27 kesalahan pilihan raya di Kimanis, kebanyakan oleh Warisan

Lebih banyak kesalahan pilhan raya semasa PRK Kimanis berbanding RK Sandakan sebelum ini.

KOTA KINABALU: Pemantau pilihan raya Bersih 2.0 merekodkn 27 kesalahan pilihan raya semasa pilihan raya kecil (PRK) Kimanis baru-baru ini dengan kebanyakannya dilakukan oleh Warisan-Pakatan Harapan (PH).

Warisan-PH didakwa melakukan 19 kesalahan pilihan raya yang kebanyakannya berkait penyalahgunaan sumber dan aset kerajaan, selain kesalahan merayu undi pada hari mengundi.

Barisan Nasional (BN) pula didakwa melakukan 8 kesalahan seperti merayu undi dan menimbulkan perasaan tidak baik atau permusuhan.

Naib pengerusi Bersih Sabah, Beverly Joeman berkata, lebih banyak kesalahan dilakukan kali ini berbanding PRK Sandakan tahun lepas, terutamanya melibatkan pengumuman peruntukan dan projek di kawasan Parlimen Kimanis.

“Lapan peruntukan dan projek diumumkan oleh kerajaan negeri dan pusat sepanjang tempoh pilihan raya. Jumlah nilai peruntukan pembangunan yang diumumkan ialah RM12.845 juta,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sebagai contoh kata beliau, pada 5 Jan, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Ewon Benedick mengumumkan peruntukan RM3 juta untuk menaik taraf infrastruktur asas di 10 kampung dan kampung pertama yang dipilih sebagai “Kampung Sejahtera” ialah Kampung Tiong Baru di Membakut, sebuah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Kimanis.

“Beliau juga mengumumkan peruntukan RM100,000 untuk menaik taraf jalan menuju ke sebuah gereja, dewan Kampung Tiong Baru dan satu hentian bas” katanya dengan menambah bahawa Ewon juga mendermakan RM5,000 kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Tiong Baru untuk kerja-kerja pentadbiran kampung berkenaan.

Naib pengerusi Bersih Sabah Beverly Joeman (tengah) penyelaras Asraf Sharafi (kanan) dan petugas Bersih Sabah menunjukkan laporan badan itu mengenai PRK Kimanis.

Penyelaras Bersih Sabah Asraf Shaafi berkata, pada hari sama, Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Peter Anthony juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM12 juta bagi membaiki jambatan Binsulok dan Baitam.

Beliau juga meluluskan projek naik taraf jalan di Bukit Manggis, Bongawan, satu lagi DUN di bawah Kimanis, yang dianggarkan bernilai RM156 juta dan melibatkan 11 kampung.

“Pada 11 Jan, Ketua Menteri Shafie Apdal mengumumkan bahawa kerajaan negeri sedang menimbangkan kemungkinan untuk mewujudkan satu pejabat daerah baru di Kimanis bagi memudahkan penduduk melakukan urusan berkaitan kerajaan,” katanya.

Ini kerana pada masa ini penduduk perlu merujuk kepada 2 pejabat daerah, sama ada di Papar atau Beaufort.

Asraf berkata, pertambahan peruntukan atau pengumuman projek oleh kerajaan juga berlaku semasa PRK Tanjung Piai.

“Nampaknya kerajaan sekarang menggunakan taktik yang pernah digunakan kerajaan lepas,” katanya.

Joeman dan Asraf berkata, Bersih mengingatkan parti politik beberapa kali bahawa penggunaan sumber kerajaan dan pengumuman projek semasa pilihan raya adalah tidak beretika.

“Pilihan raya mestilah berasaskan prinsip bersih dan adil bagi menyediakan padang sama rata kepada semua parti bertanding dan bagi memastikan pengundi menilai pilihan mereka tanpa tekanan pengaruh tidak perlu.

“Penggunaan sumber kerajaan semasa tempoh pilihan raya adalah tidak beretika kerana sumber terbabit mestilah diurus dan digunakan untuk kebaikan semua, bukannya untuk parti kerajaan mendapatkan undi.”

Dalam pada itu Asraf berkata, kebanyakan kesalahan pilihan raya dilakukan pada hari mengundi, terutamanya merayu undi di hampir semua pusat mengundi yang mereka pantau.

“Perayu undi BN dan PAS lebih agresif di pusat mengundi. Mereka memakai baju BN dan mengibarkan bendera BN serta poster calon mereka.

“Perayu undi Warisan tidak memakai baju parti atau logo mereka, tetapi menunjukkan lambang “V” bagi merayu undi untuk calon mereka yang berada di Nombor 2 pada kertas undi,” katanya.

Merayu undi pada hari mengundi adalah satu kesalahan pilihan raya di bawah Seksyen 26(1)(e)(iii) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Kami juga lihat banyak kenderaan digunakan untuk mengangkut pengundi, tetapi tidak dapat mengesahkan sama ada mereka pengundi BN atau Warisan,” kata Joeman.

“Bagaimanapun pemantau kami mengesan sebuah bas dengan bendera Warisan dan digunakan untuk mengangkut pengundi di SMK Membakut II dan SK Binsulok,” katanya.

Beliau berkata, pemantau Bersih juga mengenal pasti “pondok panas” atau “barung” BN di pusat mengundi SM St Patrick di Membakut.

Joeman menggesa pihak berkuasa dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya melarang keras aktiviti berkempen seperti merayu undi dan menyediakan kenderaan kepada pengundi pada hari mengundi kerana ia jelas bertentangan dengan undang-undang.

“Selain itu, pasukan penguatkuasaan juga hendaklah bertindak lebih tegas dengan menutup pondok panas,” katanya.

Asraf mengulangi gesaan Bersih supaya kerajaan meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi menjadikan perbuatan menggunakan sumber kerajaan dan pengumuman peruntukan baru atau projek untuk tujuan berkempen satu kesalahan.

“Kami juga mahu mencadangkan tempoh bertenang 2 hari untuk pilihan raya umum dan 1 hari untuk PRK supaya aktiviti berkempen berhenti sebelum hari mengundi, justeru pengundi boleh keluar mengundi dengan tenang dan minda yang rasional,” katanya.

Calon BN Mohamad Alamin memenangi PRK Kimanis mengalahkan calon Warisan Karim Bujang dengan majoriti 2,029 undi.