Bursa dibuka rendah, seiring prestasi ekuiti global

(Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini, seiring prestasi lemah ekuiti global, dengan kebimbangan terhadap penularan wabak koronavirus China, menjejaskan sentimen menjelang cuti Tahun Baru Cina.

Pada 9.24 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.27 mata kepada 1,574.17 berbanding 1,574.44 pada penutupan semalam, selepas dibuka 0.84 mata lebih rendah pada 1,573.60.

Kedudukan pasaran di Bursa Malaysia negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 200 berbanding 145, manakala 201 kaunter tidak berubah, 1,426 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 255.63 juta saham bernilai RM137.68 juta.

Di Amerika Syarikat, PublicInvest Research berkata saham negara itu ditutup bercampur-campur pada Khamis, pulih daripada kerugian awal, selepas pelabur memperhalusi laporan pendapatan selain menerima keputusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang tidak mengisytiharkan wabak koronavirus China sebagai kecemasan di peringkat global.

Dow Jones Industrial Average merosot 26.18 mata kepada 29,160.09, namun S&P 500 Index ditutup 3.79 mata lebih tinggi kepada 3,325.50, manakala Nasdaq Composite Index menambah 18.71 mata kepada 9,402.48.

“Saham Malaysia turut mengambil petunjuk daripada penurunan kadar dasar semalaman (OPR) Bank Negara kepada 2.75% daripada 3%, semalam.

“Di bursa serantau, saham aktif dijual, dengan CSI 300 China susut 3.1%, Indeks Hang Seng Hong Kong turun 1.5% manakala Nikkei 225 Jepun turun 1%,” katanya dalam nota.

Bagi saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank menambah 3 sen kepada RM8.54, Public Bank menokok 12 sen kepada RM19.26, manakala Tenaga turun 26 sen kepada RM12.56 dan Petronas Chemicals tidak berubah pada RM6.93.

Antara saham aktif, Sapura Energy, susut setengah sen kepada 26.5 sen, Comintel naik 16 sen kepada 25 sen manakala Supermax menambah 4 sen kepada RM1.56.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 5.93 mata kepada 11,250.89, Indeks FBM Emas Shariah turun 24.29 mata kepada 11,959.02, Indeks FBMT 100 susut 5.89 mata kepada 11,036.57, FBM 70 turun 24.06 mata kepada 14,206.03, manakala FBM Ace menambah 60.06 mata kepada 5,684.42.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.12 mata kepada 152.36, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 33.52 mata kepada 15,132.33 manakala Indeks Perladangan turun 4.38 mata kepada 7,449.39.

Bursa Malaysia dan derivatifnya berurus niaga separuh hari pada hari ini, dan ditutup pada 12.30 tengah hari menjelang cuti Tahun Baru Cina.

Pasaran dibuka semula pada Selasa, 28 Jan.