China tutup pengangkutan, tokong ketika kematian kes virus bertambah

Lebuh raya hampir lengang di bandar Wuhan di wilayah Hubei hari ini. (Gambar Chen Yanxi menerusi AP).

WUHAN: China meningkatkan langkah-langkah membendung virus yang sudah meragut 25 nyawa dan menjangkiti lebih 800 mangsa, dengan menutup pengangkutan awam di 10 bandar, tokong, dan dengan segera membina hospital baru untuk merawat orang yang dijangkiti.

Pihak berkuasa kesihatan bimbang kadar jangkitan akan jadi cepat pada Tahun Baru Cina, apabila ratusan juta warga China melancong dalam dan luar negara semasa cuti panjang, bermula hari ini.

Di stesen kereta api di Wuhan, sebilangan penumpang mengambil keputusan untuk pulang ke bandar yang menjadi pusat wabak.

“Apa pilihan saya? Sekarang Tahun Baru Cina. Kami perlu jumpa keluarga kami,” kata seorang lelaki bernama Hu.

Setakat semalam, terdapat 830 kes disahkan dan 25 orang meninggal dunia, kata Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan. Kebanyakan kes berlaku di Wuhan, di mana virus itu dipercayai dari sebuah pasar yang menjual haiwan liar secara haram.

Penyelidikan awal mencadangkan pada peringkat evolusi terbarunya, virus Wuhan itu berpindah dari ular kepada manusia.

Wuhan, dengan penduduk seramai 11 juta orang, dan jirannya, Huanggang, dengan penduduk seramai 7 juta orang, ditutup. Stesen kereta api ditutup, dengan hanya beberapa kereta api berhenti di bandar itu, penerbangan digantung, dan pemeriksaan dibuat di jalan-jalan utama masuk dan keluar bandar itu.

Wuhan membina sebuah hospital baru untuk 1,000 katil bagi merawat mereka yang dijangkiti, dengan sasaran siap dibina menjelang Isnin, kata akhbar Changjiang Daily hari ini.

Pihak berkuasa kesihatan China menasihatkan orang ramai mengelakkan kawasan sesak pada musim cuti Tahun Baru Cina.

Kira-kira 10 bandar di wilayah Hubei menggantung beberapa pengangkutan awam kerana wabak koronavirus, kata akhbar Hubei Daily hari ini.

Bas di bandar Chibi, Xiantao, Zhijiang, Qianjiang, Xianning, Huangshi, dan Enshi juga menggantung perkhidmatan. Bandar Enzhou menutup stesen kereta api.

Di bandar Zhijiang, semua tempat awam ditutup kecuali hospital, pasar raya, pasar tani, stesen gas, dan kedai ubat, kata akhbar Hubei Daily.

Tempat hiburan tertutup di bandar Enshi juga ditutup, katanya.

Beberapa tokong terkenal juga ditutup kerana virus itu. Tokong Lama di Beijing, yang dikunjungi setiap tahun baru, ditutup mulai hari ini.

Bandar Haikou, ibu negeri wilayah Hainan, menutup kemudahan-kemudahan budaya dan pelancongan seperti perpustakaan dan muzium.

Beijing membatalkan himpunan besar-besaran, termasuk 2 pesta tokong Tahun Baru Cina, dan menutup Kota Larangan kepada pelawat, tarikan pelancong paling terkenal di bandar itu, sehingga diberitahu kelak.