Jangan termakan dakyah penghasut cuba pecah belah perpaduan kaum, pesan Dr M

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengingatkan rakyat tidak mudah termakan dengan dakyah dibawa penghasut yang cuba menyemai perasaan benci dalam kalangan masyarakat.

Mahathir berkata, kekuatan sebenar negara terletak pada sikap rakyat yang matang dan menerima hakikat bahawa Malaysia merupakan negara berbilang kaum, yang memerlukan toleransi antara satu sama lain.

“Mereka ini mahu menyemai kebencian antara kita. Agenda jahat mereka hanya bertujuan untuk memecah belahkan keharmonian kaum di Malaysia.

“Jika kita tidak rasional dan mula membenci satu sama lain hanya kerana perkara yang remeh, maka puak-puak jahat ini pasti menganggap mereka telah berjaya.

“Setelah berdekad lamanya kita menerima hakikat negara kita adalah negara berbilang kaum yang memerlukan toleransi di antara kita, hidup mesra terhadap jiran dan rakan taulan,” katanya dalam ucapan Tahun Baru Cina, hari ini.

Mahathir berkata, rakyat perlu bersyukur kerana negara aman tanpa sebarang rusuhan dan peperangan seperti yang berlaku di beberap negara lain. Bahkan, dapat mempertahankan kedaulatan tanpa terlalu bergantung kepada mana-mana pihak.

“Ini adalah kemenangan besar untuk setiap warganegara. Kita hidup bersatu padu dan setiap ahli masyarakat saling membantu dan bekerjasama walaupun kita berlainan kaum ataupun agama. Kita boleh bekerja di dalam sesebuah organisasi tanpa mengira keturunan kerana setiap dari kita sayangkan keamanan.

“Ini adalah satu rahmat yang mungkin kita tidak sedar. Tapi percayalah, Malaysia tidak akan maju, aman dan tenang seperti sekarang jika terdapat konflik perkauman yang berpanjangan,” katanya.