Koronavirus: Selangor tarik diri kejohanan bola sepak di China

Persatuan Bola Sepak Selangor menarik diri daripada Jemputan Bola Sepak Antarabangsa Piala Meizhou Hakka di Guandong, China.

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengambil keputusan menarik diri daripada Kejohanan Jemputan Bola Sepak Antarabangsa Piala Meizhou Hakka di Wilayah Guandong, China yang dijadual berlangsung mulai hari ini sehingga 29 Jan.

FAS dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dalam laman sesawangnya www.faselangor.my menyatakan keputusan itu dibuat bagi memastikan keselamatan pemain dan pegawai Selangor berikutan wabak koronavirus yang melanda China pada masa ini.

“FA Selangor memohon maaf kepada penganjur kejohanan, Meizhou Hakka FC dan akan melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan perkara ini sebaik mungkin,” katanya.

Kejohanan jemputan itu mengetengahkan 4 pasukan, Chonburi FC, Thailand; Sangju Sangmu, Korea Selatan; Selangor dan juga Meizhou Hakka FC, selaku tuan rumah.

Sekurang-kurangnya 25 orang dilaporkan mati akibat wabak virus baru di China, menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaannya pada Jumaat.

Agensi Anadolu melaporkan suruhanjaya itu mencatatkan 830 kes yang disahkan di seluruh negara sejak wabak novel koronavirus menular yang kali pertama dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) oleh pegawai Kerajaan China pada 31 Dis lepas di Wuhan, ibu negeri Wilayah Hubei di tengah China.