Nama Malaysia tercalar, Hishammuddin gesa Mat Sabu hubungi rakan sejawat Indonesia

Bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein.

PETALING JAYA: Bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein menggesa Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menghubungi rakan sejawat di Indonesia bagi menjernihkan keadaan selepas pasukan keselamatan dikritik dalam kejadian 5 nelayan warganegara Indonesia diculik di perairan Lahad Datu pada Khamis lepas.

Hishammuddin berkata, sehingga kini masih tidak dimaklumkan Mohamad sudah bertemu atau menghubungi rakan sejawat, selepas Jakarta mendakwa koordinasi dan keterlibatan pihak berkuasa Malaysia dalam pengamanan perairan Sabah, Sulu dan Sulawesi tidak berkesan, membolehkan penculikan 5 nelayan oleh militan Abu Sayyaf.

“Saya sentiasa yakin dengan kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mahupun Markas Angkatan Bersama (MAB). Namun menteri mesti bertanggungjawab dan memainkan peranan.

“Pergi ke puluhan negara termasuk Iran sejak jadi menteri pertahanan boleh. Ini sudah 2 hari sejak kerajaan Indonesia mengkritik pasukan keselamatan kita,” katanya dalam kenyataan.

Lima nelayan Indonesia diculik oleh militan Abu Sayyaf di perairan Tambisan berdekatan Lahad Datu, apabila kapal nelayan mereka dinaiki orang bersenjata dan membawa lari mangsa.

Timbalan Menteri Luar Mahendra Siregar berkata kerajaan Indonesia amat kesal penculikan rakyatnua berulang.

“Kelihatannya keadaan ini kerana koordinasi atau keterlibatan pihak berkuasa di Malaysia tidak efektif selama ini,” katanya menurut laporan CNN Indonesia.

Hishammuddin berkata, selepas hampir 2 tahun Mohamad menerajui Kementerian Pertahanan, masih tidak ada perkembangan baru dan usaha untuk memantapkan inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) yang turut membabitkan ATM, Tentera Nasional Indonesia dan Angkatan Tentera Filipina.

“Saya tidak nafi TCA ini dimulakan semasa saya menjadi menteri pertahanan. Malah, bukan TCA sahaja, banyak lagi perancangan pertahanan dapat dilaksanakan dengan cepat serta tersusun kerana keakraban hubungan saya dengan menteri pertahanan Indonesia dan Filipina.

“Kalau iya tidak suka inisiatif dimulakan Barisan Nasional, beritahulah apa perancangan Pakatan Harapan untuk memperkukuhkan keselamatan khususnya di kawasan perairan Sabah,” katanya.

Dakwanya, sudah berkali-kali beliau meminta penjelasan dari Mohamad berhubung perkara ini, di Parlimen dan media sosial, namun sehingga ke hari ini masih tiada sebarang jawapan.