Pentagon mungkin mula pindah angkatan AS global tahun ini

Ramai pakar kata pemindahan angkatan AS sudah terlewat memandangkan kemaraan China sejak 2 dekad lalu. (Gambar Reuters)

MIAMI: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Mark Esper semalam mencadangkan beliau sedia memulakan pemindahan angkatan tentera global AS tahun ini dalam usaha menukar fokus Pentagon kepada menghadapi cabaran dari China dan Rusia.

Esper tidak mahu mengumumkan garis masa bila “kajian pertahanan” itu akan selesai, yang dijangka akan mencetuskan pemindahan askar-askar itu.

“Sekiranya saya terpaksa meletakkan satu tarikh tamat (kajian), saya mahu pastikan kita berada dalam kedudukan lebih baik pada permulaan tahun fiskal akan datang,” kata Esper kepada pemberita.

Beliau merujuk kepada tahun kalendar perbelanjaan kerajaan, yang bermula 1 Okt. “Jadi saya mahu laksanakan dengan cepat.”

Esper berkata demikian dalam lawatannya ke Miami ketika beliau memulakan misi kajian ketenteraan di Amerika Latin, sebahagian daripada pemeriksaan atur gerak global yang beliau harap membolehkannya untuk memindahkan lebih banyak askar ke Asia dan menghantar pulang yang lain.

Ramai pakar mengatakan usaha itu terlewat, memandangkan kemaraan China sejak 2 dekad lalu ketika AS tumpu kepada operasi anti-pengganas di Iraq, Afghanistan, Syria, dan kawasan lain.