Ringgit ditutup tinggi dipacu aliran masuk dana ke pasaran bon

Pengumuman WHO bahawa penularan wabak koronavirus bukan darurat global memberi kelegaan kepada pelabur sekali gus menenangkan pasaran tukaran asing Asia.

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini menjejaki prestasi pasaran serantau menjelang cuti bersempena sambutan Tahun Baru Cina, kata para peniaga.

Pada 6 petang, ringgit disebut harga pada 4.0590/0650 berbanding dolar AS daripada paras 4.0680/0710 pada Khamis.

Ketua strategis pasaran AxiCorp Stephen Innes berkata, ringgit mengukuh hari ini, dipacu oleh aliran masuk dana ke dalam pasaran bon.

“Tindakan awal Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) mencetuskan permintaan kukuh terhadap pasaran bon, manakala aliran masuk dana itu pula hanya mendorong kepada peningkatan ringgit,” katanya.

Dalam pada itu, pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada Khamis bahawa penularan wabak koronavirus merupakan darurat di peringkat China dan bukan di tahap global, turut memberi kelegaan kepada pelabur sekali gus menenangkan pasaran tukaran asing Asia, katanya.

Selain itu ringgit diniagakan tinggi berbanding kelompok mata wang utama lain.

Berbanding dolar Singapura, ringgit mengukuh kepada 3.0024/0080 daripada 3.0138/0171 pada Khamis dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7038/7103 daripada 3.7130/7171, semalam.

Ringgit turut meningkat berbanding euro kepada 4.4787/4869 daripada 4.5086/5135 semalam dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3140/3235 daripada 5.3413/3469, sebelum ini.