Saksi: Felcra mohon labur RM150 juta daripada dana persaraan kakitangan dalam unit amanah

Bung Moktar Radin dan isteri Zizie Ezette A Samad didakwa menerima rasuah daripada 2 ejen pelaburan Public Mutual.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra Berhad) membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan (MoF) untuk menggunakan RM150 juta daripada dana tabung persaraan kakitangan Felcra bagi tujuan pelaburan dalam unit amanah Public Mutual.

Bekas pengurus besar pelaburan Felcra, Adnan Yusof, 60, berkata, permohonan itu berdasarkan memo yang dikeluarkan oleh wakil MoF kepada Felcra.

“Permohonan perlu dibuat sama ada permohonan itu diluluskan atau tidak itu adalah hak mutlak MoF,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Roslan Mat Nor pada hari ketiga perbicaraan kes rasuah ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin dan isterinya yang juga seorang pelakon, Zizie Ezette A Samad.

Ditanya Roslan mengenai catatan minit mesyuarat yang menunjukkan Lembaga Pengarah Felcra terlibat dalam sebarang tindakan berkaitan dengan pelaburan RM150 juta itu, Adnan menjawab: “Tidak dinyatakan di sini”.

Pada 2 Jan, Bung Moktar yang diwakili peguam M Athimulan mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan pindaan yang dihadapinya.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, 60, yang ketika itu pengerusi bukan eksekutif Felcra, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui isteri tertuduh, Zizie Ezette.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai dorongan bagi mendapatkan kelulusan daripada menteri kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini, antara 12.30 tengah hari dengan 5 petang, pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Ezette bagi tujuan serupa.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Ezette bagi tujuan yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015 dan semua pertuduhan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Ezette, 41, juga mengaku tidak bersalah atas 3 pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 29 Jan.