Selangor rangka skim penyelesaian tuntutan pembeli rumah terbengkalai

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Talha ketika mengadakan perbincangan dengan wakil pembeli.

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor berkata skim penyelesaian sedang dirangka oleh syarikat penerima dan pengurus, Grant Thorton Consulting Sdn Bhd bagi menjelaskan tuntutan pembeli yang terkesan berhubung projek Rumah Selangorku Residensi Jaya yang terbengkalai sejak 2018.

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Talha berkata skim tersebut akan diperhalusi dengan pembeli dan pihak berkaitan.

“Kerajaan negeri ingin memaklumkan pemaju Jitu Enigma Sdn Bhd yang membangunkan Rumah Selangorku,
Pangsapuri Residensi Jaya digulungkan dan projek tersebut kini diserahkan kepada syarikat penerima dan pengurus (Receiver) Grant Thorton Consulting Sdn Bhd.

“Kerajaan negeri ingin menjelaskan Lembaga Perumahan dan Haratanah Selangor telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama-sama syarikat pengurus dan wakil pembeli bagi mendapatkan penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi pembeli,” katanya kepada FMT.

Semalam, Umno menggesa Selangor tidak lepas tangan terhadap pembeli projek perumahan terbengkalai yang mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri itu.

Naib Presidennya, Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya isu itu tidak diselesaikan, beliau tidak teragak-agak untuk membangkitkannya di Parlimen pada Mac ini dan meminta bantuan peguam untuk membantu pembeli yang dianggap tertipu.

Ahad lalu, FMT melaporkan lebih 50 pembeli sebuah projek perumahan terbengkalai yang mempunyai kaitan dengan kerajaan Selangor mendesak kerajaan negeri segera menyelesaikan masalah dihadapi mereka.

Residensi Jaya mempunyai 2 blok, bernilai antara RM210,000 dan RM250,000 seunit. Setiap blok adalah setinggi 11 tingkat dan mempunyai 394 unit apartment dan 9 unit kedai.

Pada 25 Okt tahun lalu, syarikat pemaju yang seharusnya menyiapkan rumah berkenaan diisytiharkan bankrap.

Dalam pada itu, Haniza berkata satu perjumpaan dengan pembeli akan diadakan pada 3 Februari ini bagi membincangkan skim penyelesaian yang terbaik dalam melindungi hak pembeli yang terkesan daripada permasalahan ini.

Beliau berkata kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membantu pembeli yang menandatangani perjanjian pembiayaan dengan institusi perbankan bagi mengecualikan pembayaran ansuran pinjaman kepada pihak bank sementara mendapatkan penyelesaian untuk permasalahan pembeli.

“Pada 15 Februari ini, Grant Thorton Consulting Sdn Bhd akan membuat perjumpaan dengan pembeli bersama agensi berkaitan,” katanya.

Haniza berkata kerajaan negeri ingin menjelaskan kos pembangunan projek Rumah Selangorku Pangsapuri Residensi Jaya di Taman Juara Jaya, Mukim Cheras, Daerah Hulu Langat, Selangor ini ditanggung sepenuhnya oleh pihak pemaju Jitu Enigma Sdn Bhd.

Katanya, kerajaan negeri tidak memperuntukkan sebarang peruntukan bagi pembangunkan projek ini.