‘Terlalu awal’ untuk isytihar wabak koronavirus darurat kesihatan global, kata WHO

Sebanyak 584 kes jangkitan wabak koronavirus dilaporkan kepada WHO, termasuk 17 kematian di China. Kes lain turut dilaporkan di Jepun, Korea, Singapura, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam. (Gambar Reuters)

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis berkata, adalah “terlalu awal” untuk mengisytiharkan wabak koronavirus baru di China sebagai darurat kesihatan global, lapor agensi berita Xinhua.

“Hari ini saya tidak mengisytiharkan darurat kesihatan global. Sama seperti semalam, Jawatankuasa Darurat berbelah bahagi sama ada wabak itu mewakili Amaran Darurat Kesihatan Antarabangsa (PHEIC) atau tidak,” kata ketua pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang akhbar selepas mesyuarat tertutup jawatankuasa itu.

“Meskipun wabak itu menular di China, tetapi ia belum boleh dianggap darurat kesihatan global,” kata Tedros, sambil menambah penilaian risiko WHO mendapati wabak itu mempunyai risiko sangat tinggi di China dan di peringkat serantau serta global.

“Saya ingin ulangi bahawa hakikat saya tidak mengisytiharkan PHEIC pada hari ini bukan bermakna WHO tidak mengambil serius keadaan itu” katanya.

Jawatankuasa Darurat itu bermesyuarat selama 2 hari bagi membincangkan isu berkenaan.

PHEIC ditakrifkan WHO sebagai satu peristiwa luar biasa yang menimbulkan risiko kesihatan awam kepada negara lain melalui penyebaran penyakit dan memerlukan respons antarabangsa yang selaras.

Tedros berkata, sebanyak 584 kes dilaporkan kepada WHO, termasuk 17 kematian. Sejumlah 575 kes dan semua kematian dilaporkan di China. Kes lain turut dilaporkan di Jepun, Korea, Singapura, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Tedros berkata, China mengambil langkah-langkah perlu dan WHO merakamkan penghargaan atas kerjasama yang diberikan negara itu.

Buat masa ini, WHO tidak mengesyorkan apa-apa larangan perjalanan atau sekatan perdagangan yang lebih menyeluruh dan mencadangkan pemeriksaan keluar di lapangan terbang sebagai sebahagian langkah komprehensif untuk mengekang penularan wabak.

Semua negara harus mengambil langkah untuk mengesan kes-kes koronavirus, termasuk di kemudahan kesihatan, kata Tedros.