17 pendatang tanpa izin ditahan dalam operasi di Sabah

17 individu disyaki pendatang tanpa izin ditahan dalam satu operasi bersepadu di Semporna awal pagi tadi. (Gambar Esscom)

SEMPORNA: 17 pendatang tanpa izin ditahan dalam satu operasi dinamakan :Ops Gasak” di Kampung Selamat dan kawasan berdekatan di sini awal pagi tadi.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Hazani Ghazali berkata, operasi bermula pukul 3 pagi itu melibatkan polis, Jabatan Imigresen, Elektrik Sabah Sdn Bhd, Jabatan Pendaftaran Negara, pasukan keselamatan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Kampung Selamat disyaki menjadi tempat persembunyian pendatang tanpa izin dan titik panas barang seludup dan pengedaran syabu.

“Dalam operasi itu, 575 individu disaring dan 17 didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri atau membawa dokumen pengenalan yang diragui,” katanya.

13 lelaki dan 4 wanita yang ditahan akan dihantar ke pusat tahanan sementara di Tawau, kira-kira 84km dari sini.

Hazani berkata, dalam operasi sama, 2 lelaki berusia 25 tahun turut ditahan kerana memiliki 0.20 gram syabu yang disembunyikan dalam sebuah kenderaan.

Seorang mereka didapati positif penggunaaan dadah.

Dalam pada itu, pegawai Elektrik Sabah merampas 50kg kabel dipercayai digunakan dalam sambungan elektrik tidak sah.