3 remaja ditahan miliki senapang buatan sendiri

Polis merampas 3 laras senapang buatan sendiri atau bakakuk dan 4 butir peluru hidup daripada 3 remaja. (Gambar Twitter)

BELURAN: Tiga remaja lelaki ditahan kerana disyaki memiliki selaras senapang buatan sendiri atau dikenali sebagai bakakuk dan 4 butir peluru hidup.

Ketua Polis Daerah Beluran Kasim Muda berkata 2 daripada suspek berumur 16 tahun dan seorang lagi 19 tahun, ditahan di kawasan Ladang Myvin 2 Telupid bersempadan dengan kawasan Hutan Simpan Tawai.

“Mereka ditahan oleh pihak Jabatan Perhutanan Sabah yang membuat rondaan dan pemeriksaan di kawasan tersebut berikutan maklumat dan aduan awam yang diterima.

Tangkapan dibuat semalam, jam lebih kurang 4 petang dan siasatan membawa kepada penemuan selaras senapang bakakuk berisi sebutir peluru hidup yang disembunyikan di dalam timbunan pelepah kelapa sawit di kawasan ladang berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kasim berkata 3 lagi butir peluru hidup dijumpai dalam sebuah beg yang dipegang oleh salah seorang suspek.

Beliau juga berkata suspek ditahan kerana disyaki ingin melakukan pemburuan haram di kawasan hutan simpan bersempadan dengan ladang sawit itu.

Katanya, pihak Jabatan Perhutanan turut merampas sebilah parang daripada suspek yang dipercayai digunakan untuk tujuan berburu.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek mempunyai tali persaudaraan dan 2 daripada mereka pula masih menuntut di sebuah sekolah menengah di Telupid.

Suspek dan barang rampasan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.